Isu Banjir Tidak Jadi Masalah, Sentiasa Bertugas, Berwaspada Dan Sedia Hadapi – Datuk Bandar

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi banjir yang melanda Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata walaupun kejadian banjir kilat sukar dijangka, namun petugas-petugas di bilik operasi DBKL sentiasa berwaspada untuk menghadapi banjir.

“Isu banjir di sini tidak menjadi masalah kerana bilik operasi DBKL sentiasa bertugas, berwaspada dan bersedia untuk menghadapi banjir.

“Cuma yang menjadi masalahnya adalah kejadian banjir kilat yang tidak dapat dijangkakan. Bagaimanapun, DBKL sentiasa membuat persediaan awal untuk menghadapi sebarang situasi yang tidak diingini,” katanya selepas penutupan acara Karnival Sukan antara Jabatan DBKL 2014.

Turut hadir, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta bakal disalurkan untuk membangunkan pusat sukan di Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Brickfields.

Katanya, kegiatan sukan dilihat mampu menyatukan kakitangan DBKL dalam suasana harmoni.

“Kejohanan sukan antara jabatan DBKL sudah lama tidak diadakan sejak 2008. Saya lihat sambutan yang diberikan kali ini amat menggalakkan, walaupun ia diadakan pada hari cuti umum.

“Warga DBKL mempunyai kira-kira 10,000 kakitangan. Dengan adanya acara seperti ini, ia mampu mewujudkan persefahaman yang sangat berkesan dan efektif,” katanya.

Karnival Sukan antara Jabatan DBKL 2014 disertai 3,500 peserta melibatkan 25 jabatan dan 452 pasukan telah mengambil bahagian dalam 137 acara sukan yang dipertandingkan.

Ahmad Phesal juga turut mengumumkan pemberian bonus sebulan kepada semua kakitangan DBKL yang bakal diberikan pada 30 Disember ini.

 

Sumber : RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.