1MDB : Rakyat Jangan Terpedaya Dengan Propaganda – SU BN Pulau Pinang

Kuala Lumpur – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar berkata pelaburan Lembaga Pembangunan 1Malaysia (1MDB) semakin terancang dan dilaksanakan dengan teliti.

Beliau menggesa rakyat Pulau Pinang supaya tidak mudah terpedaya dengan propaganda palsu mengenai 1MDB.

New Straits Times melaporkan Omar sebagai berkata bahawa 1MDB diperlukan bagi memastikan sektor industri di negara ini kekal selamat, sambil menambah bahawa pada masa yang sama, ia juga adalah untuk memacu dagangan domestik.

“1MDB merupakan pelaburan yang dirancang dan dilaksanakan dengan berhati-hati, kerana ia melibatkan usaha untuk menjamin keselamatan sektor industri dan dakwaan yang mengatakan 1MDB merupakan skandal kewangan terbesar adalah tidak benar.

“Pelaburan itu sebenarnya untuk memastikan keuntungan negara dalam jangka masa panjang,” katanya.

Omar berkata, langkah sama pernah diambil oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah menghabiskan sejumlah wang besar untuk membina lebuh raya demi manfaat jangka masa panjang.

“Sebagai contohnya ialah Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1980-an.

“Dahulu pembangkang pernah menuduh dan membantah rancangan Mahathir, sama seperti yang dialami Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekarang,” katanya.

Menurut Omar, akhirnya rancangan Mahathir terbukti berguna dan beliau percaya perkara yang sama akan berlaku dengan rancangan Najib.

Bagaimanapun beliau berkata, untuk menjana pendapatan, ia memerlukan masa dan tidak boleh menganggap bahawa keuntungan boleh dibuat dalam tempoh masa singkat.

“Ini adalah bagaimana perniagaan dijalankan. Jadi, apa yang penting pada ketika ini ialah untuk memastikan pelaksanaan 1MDB berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

 

Sumber : RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.