VIDEO: SWCorp Dekati Komuniti PPR Promosi Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) yang akan diadakan pada 1 Disember ini bertempat di Pantai Eco Park, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini mengadakan program turun padang di komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Pantai bagi mempromosikan dan mengajak orang ramai hadir ke sambutan berkenaan. 

Program Turun Padang Sempena Promosi HKSK2018 dan Fun Walk itu disertai 70 kakitangan SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang memberi tumpuan kepada lima lokasi iaitu Medan Sri Angkasa dan PPR Seri Pantai; PPR Kampung Limau, PPR Pantai Ria; PPR Sri Cempaka dan Bazaria Pantai.   

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Haji Ismail Mohammed, program turun padang hari ini menggunakan kaedah ‘mendekati secara rapat’ penghuni komuniti PPR, selain daripada mengedarkan risalah (pamplete) untuk mempromosikan HKSK2018.

“Kita ada empat PPR utama di kawasan Pantai Eco Park iaitu PPR Seri Cempaka, Seri Pantai, Kampung Limau dan Pantai Ria. Lebih kurang empat PPR, kita harapkan mereka turun pada 1 Disember ini. Untuk program hari ini, kita pecahkan kepada lima kumpulan, setiap kumpulan ada 15 orang ke setiap PPR, dan juga Bazaria Pantai. 

“Pagi ini kita edarkan pamplete dari pintu ke pintu, dan kita juga mendekati mereka secara dekat, kemudian kita letak juga di peti surat dan di kenderaan-kenderaan supaya mesej kita sampai untuk mereka hadir beramai-ramai pada 1 Disember ini,” katanya kepada SuaraTv.

Mengulas mengenai pemilihan lokasi HKSK2018 iaitu Pantai Eco Park, jelas Ismail, ia bersesuaian dengan matlamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu keterlibatan komuniti secara langsung yang berterusan, khususnya dalam usaha membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Kita mahu membudayakan komuniti, YB menteri pun mahu keterlibatan komuniti. Jadi kita memang cari satu tempat yang ramai komuniti. Jadi sesuailah dengan keadaan persekitaran di Pantai Eco Park ini yang dikelilingi PPR,” katanya sambil menambah, dianggarkan terdapat kira-kira 4,333 unit daripada keempat-empat komuniti PPR.  

Tambahnya lagi, SWCorp sebagai badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan HKSK2018 sangat komited untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan amalan 3R secara berterusan sekaligus mampu meningkatkan kadar peratusan amalan kitar semula.  

“Sebenarnya dari dulu lagi kita melaksanakan 3R tapi sasaran kita untuk orang melaksanakan dan membudayakan amalan ini agak rendah. Untuk makluman kita juga pernah melaksanakan kajian terhadap 55,000 responden, yang tahu tentang 3R memang ramai iaitu 98 peratus. Tapi yang melaksanakannya tak sampai 50 peratus. 

“Jadi inilah inisiatif kita SWCorp. Dan HKSK memang kita laksanakan setiap tahun pada 11 November tapi kerana kekangan masa dan sebagainya, kita buat pada 1 Disember. Itulah salah satu inisiatif untuk kita tingkatkan kadar kitar semula di negara ini, yang ketika ini berada pada kadar 23 peratus. Kita sasarkan tahun 2020, kadarnya 30 peratus,” katanya. 

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir pada 1 Disember ini bukan saja untuk memeriahkan HKSK2018, malah dalam masa yang sama dapat menambahkan pengetahuan dan meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kitar semula demi masa hadapan alam sekitar yang terpelihara dan kesihatan yang terjamin.

“Harapan saya, marilah sama-sama hadir pada 1 Disember ini meraikan HKSK2018 dan juga secara tak langsung kita sama-sama membudayakan aktiviti kitar semula, dan kita juga nak transform minda masyrakat kita supaya bersama-sama bertanggungjawab menjaga persekitaran, buat kitar semula supaya kita dapat mengurangkan penjanaan sisa setiap hari,” ujarnya lagi. 

HKSK2018 dianjurkan oleh SWCorp bermatlamatkan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R dalam menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan amalan harian.

 Pelbagai acara menarik yang disusun untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam program ini antaranya acara senamrobik dan HKSK Fun Walk & Plogging. 

Selain itu, sebanyak 20 booth pameran disediakan melibatkan agensi kerajaan, agensi swasta, NGO, IPT dan Sekolah Industri; pameran ‘sculpture’; bengkel ‘upcycling’, dan ‘open mic’.

HKSK2018 turut akan diserikan dengan cabutan bertuah,’food truck’, jualan ‘car boot’, penampilan maskot Didi&Friends dan persembahan nyanyian daripada Reuz Band. 

Ia akan dirasmikan oleh Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.