Tun M Pertahan Waytha Moorthy, Kenyataan Aibkan Malaysia Kerana Kecewa

SHAH ALAM – Sedang ramai pihak mengecam Senator P Waytha Moorthy gara-gara videonya memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara, bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil mempertahankan Menteri Perpaduan berkenaan. 

Mahathir berkata, kenyataan Waytha Moorthy itu adalah disebabkan beliau kecewa dengan kerajaan pada waktu itu, dan pendirian pemimpin Hindraf itu pastinya sudah berbeza dalam konteks masa kini.

“Dia pada masa itu amat kecewa. Dia buat kenyataan dan dalam kenyataannya itu dia cuba tunjukkan kepada orang asing bahawa di Malaysia tidak ada keadilan. Tetapi, itu pada masa itu.

“Sekarang ini dia ada dalam kerajaan dan tidak lagi pegang dengan apa yang dia kata dahulu,”katanya dipetik Free Malaysia Today, mengulas mengenai klip video Waytha yang tersebar baru-baru ini.

Di dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, Waytha mendakwa kaum India di Malaysia telah didiskriminasi dalam pelbagai perkara bermula daripada hak beragama, termasuklah kononnya kebanyakan penganut agama Hindu dipaksa untuk menukar agama jika mahu bekerja dalam jabatan kerajaan dan untuk mendapatkan tajaan biasiswa.

Bagaimanapun Waytha kemudian mempertahankan dirinya dengan mengatakan video itu dirakam kira-kira 10 tahun lalu ketika beliau diwawancara stesen TV Belanda, yang dibuat selepas himpunan Hindraf pada Nov 2007 sebagai gesaan agar kerajaan pada ketika itu membela nasib masyarakat India di Malaysia.

Dalam pada itu, Mahathir juga memberi contoh bagaimana beliau sendiri pernah digelar ‘Mahazalim’, tetapi tetap diterima rakyat semula untuk mentadbir negara.

“Macam dengan saya… dulu orang dahulu panggil saya Mahazalim. Sekarang ini mereka terima Mahazalim jadi pemimpin.

“Kita semua ada latar belakang. Macam saya… dulu dari UMNO. Jadi takkan kerana saya dulu dari UMNO saya tidak boleh masuk Pakatan Harapan,”katanya lagi. 

Mengulas mengenai petisyen yang dibuat pihak tertentu supaya Waytha meletakkan jawatan, Mahathir berkata ia bukanlah arahan wajib untuk diikuti mana-mana pihak, kerana ia hanya petisyen.

“Orang ramai boleh buat petisyen. Petisyen bukanlah suatu arahan yang wajib untuk diikuti. Kalau Waytha hendak letakkan jawatan dia boleh lakukannya.

“Tetapi dia tidak mahu letak jawatan. Bukan itu sahaja… sesiapa sahaja boleh buat petisyen untuk mendesak saya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” katanya.

Mahathir turut menjawab kritikan di media sosial yang dilemparkan terhadap Waytha berkaitan kakitangan berasaskan satu kaum yang dilantik pemimpin Hindraf itu, yang didakwa bercanggah dengan kedudukan Waytha sebagai menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Kritikan orang itu adalah berkaitan jawatan setiausaha sulit kanan, setiausaha politik, pegawai tugas-tugas khas, setiausaha akhbar dan setiausaha sulit di bawah portfolio Waytha yang dipegang satu kaum sahaja.

“Berilah dia peluang. Dia baru sahaja mula (tugasnya). Jika sudah lama, maka boleh betulkan. Orang yang dia tahu dan kenal dia lantik tetapi dia tidak boleh lantik seseorang yang dia tidak kenal.

“Kebanyakan orang yang dia tahu adalah dari Hindraf atau komuniti India, tetapi perpaduan bermakna harus ada etnik lain, seperti India, Iban dan Kadazan,” katanya lagi. -SuaraTv 

One thought on “Tun M Pertahan Waytha Moorthy, Kenyataan Aibkan Malaysia Kerana Kecewa

  • November 23, 2018 at 12:22 pm
    Permalink

    Ya tentunya PH bolih buat sesuatu satukan ummah!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.