Perhimpunan ICERD, Kami Mahukan Hak Yang Sama – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut hak yang sama dari pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk parti UMNO dan Pas berhimpun bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 8 Disember ini.

Asyraf berkata, perjuangan kerajaan PH sebelum mentadbir negara dahulu juga kerap mengadakan perhimpunan dan demonstrasi yang dibenarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeri itu, beliau berharap PH akan membenarkan pembangkang mengadakan perhimpunan bantah ICERD supaya rakyat tidak melihat sikap hipokrit kerajaan kerana sistem yang tidak adil.

“Ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan hak demonstrasi, jadi sekarang kami sebagai pembangkang mahukan hak yang sama.

“Tetapi jika mereka tidak benarkan, rakyat akan tengok yang mereka ini kerajaan hipokrit dan munafik. Bagaimanapun, kita tetap akan berkumpul,” katanya, yang dipetik dari Berita Harian.

Tambah Asyraf lagi, seramai hampir sejuta ahli UMNO dan Pas akan berganding bahu dan menyertai perhimpunan ini.

UMNO komited meminta seramai 350,000 ahli untuk menghadiri perhimpunan yang akan diadakan di ibu negara.

Katanya, begitu juga Pas sudah meminta seramai 350,000 ahlinya untuk menyertai perhimpunan itu nanti.

“Mereka tidak boleh selamanya memperbodohkan kita, sebab itu kita kena bagi isyarat kuat pada mereka.

“Jadi jika mereka masih degil, pada 8 Disember ini akan ada seramai 500,000 sehingga satu juta ahli UMNO, Pas termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berhimpun di Dataran Merdeka,” katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.