DUN Pahang Lulus Usul Tergempar Tolak Ratifikasi ICERD

KUANTAN, 22 Nov — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14, semalam meluluskan sebulat suara usul tergempar menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Usul dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin sebelum dibahaskan bersama-sama lima Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional, PAS dan Pakatan Harapan.

Shahaniza, ketika membentangkan usul berkenaan, berkata asas kepada bantahan itu ialah sepanjang lebih 61 tahun Malaysia merdeka, tiada bukti berlakunya bentuk diskriminasi kepada mana-mana kaum yang menjadi rakyat di negara ini.

Sementara itu Shahril Azman Al-Hafiz (PAS-Jengka) dalam perbahasannya, menyokong usul berkenaan dan menegaskan bahawa kerajaan Pusat perlu menolak sebarang usaha menandatangani perjanjian itu bagi mengelak keharmonian dikecapi negara ketika ini terjejas.

Bekas menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (BN-Pelangai) berkata, ratifikasi ICERD ini tidak menjejaskan secara umumnya aspek perundangan negara.

Bagaimanapun, katanya ia tidak perlu ditandatangani kerana boleh menimbulkan impak yang negatif terhadap hubungan antara kaum di negara ini.

Sementara itu, sesi perbahasan selama sejam 45 minit itu kemudian ditamatkan Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad selepas Andasura Rabu (PAS-Beserah) menyatakan sokongan terhadap usul berkenaan menyaksikan ia diluluskan tanpa bantahan daripada semua 42 Adun. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.