Bukan DAP Yang Bangkitkan Isu Ratifikasi ICERD, Kata Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa parti itu tidak pernah menimbulkan ICERD supaya diiktiraf dan diratifikasikan di negara ini.

Memetik laporan Utusan, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan tuduhan mengaitkan DAP dengan isu ratifikasi ICERD itu sebagai bermotifkan politik.

“Saya rasa semua orang pun tahu bahawa isu ICERD tidak dibangkitkan oleh pihak kami daripada DAP, siapa yang membangkitkan itu bukan kamilah.

“Itu sentimen perkauman yang cuba dibakar, kita tidak timbul langsung perkara ini dan pihak berkenaan cuba mengaitkan DAP atas tujuan politik mereka,” katanya.

Terdahulu, awal bulan ini dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP, Chow Yu Hui (DUN Tras) dan Chiong Yoke Kong (DUN Tanah Rata) parti itu perlu menyokong usaha meratifikasikan ICERD.

“Dalam “Deklarasi Setapak”, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label “bumiputera” dan “bukan bumiputera”.

“Sekiranya DAP masih bertekad untuk menjadi sebuah “parti untuk semua rakyat”, caranya bukanlah untuk menggesa rakyat merendahkan status bangsa masing-masing, atau hanya membawa masuk ahli baru yang berlainan kaum.

“Ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD,” kata kedua-dua ADUN DAP itu dalam kenyataan mereka pada 9 November lalu yang kemudiannya mengundang kecaman ramai pihak.

Sementara itu, semalam, Pengerusi Gabungan NGO Gagasan Kuasa Tiga (G3), Raggie Jessy menyifatkan isu ICERD sebagai sebahagian agenda tersembunyi DAP bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu-Islam di negara ini.

Isu ratifikasi ICERD mengundang tentangan pelbagai pihak berikutan impak negatif meratifikasikan konvensyen itu akan menjejaskan kepentingan agama Islam, orang Melayu dan hak keistimewaan Bumiputera. – SuaraTV

2 thoughts on “Bukan DAP Yang Bangkitkan Isu Ratifikasi ICERD, Kata Lim Guan Eng

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.