Tolak Tawaran FAM Bersaing Dalam Piala AFC

KUANTAN – Liga Malaysia akan hanya diwakili sebuah pasukan dalam pertandingan kelab peringkat Asia apabila Pahang membuat keputusan menolak ‘rezeki terpijak’ untuk bersaing dalam Piala AFC yang diberikan kepada mereka.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, mereka menolak tawaran menyertai Piala AFC kerana mahu memberi tumpuan kepada persaingan di peringkat domestik, sekali gus menjadikan hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai wakil tunggal Liga Malaysia dalam pertan­dingan di peringkat Asia.

JDT yang muncul juara Liga Super kali keempat berturut-turut tahun ini akan bersaing dalam kelayakan Liga Juara-juara musim depan manakala Pahang sepatutnya mengisi slot ke Piala AFC selaku naib juara Piala FA kerana Kedah selaku pemenang piala itu gagal mendapatkan lesen.

PBNP dalam kenyataannya memaklumkan, persatuan itu telah menerima tawaran untuk menyertai Piala AFC 2018 melalui surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November.

“Bagaimanapun, PBNP menolak untuk menyer­tai Piala AFC 2018 melalui surat bertarikh 14 November 2017.

“(Alasan menolak tawaran) adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada liga domestik,” kata persatuan itu dalam kenyataannya di sini hari ini, lapor Utusan

Surat menolak tawaran itu turut menyatakan keputusan PBNP dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat di­elakkan.

Sebelum ini, Pahang dilaporkan mendapat ‘rezeki terpijak’ apabila FAM menyerahkan slot Piala AFC milik Kedah kepada skuad Tok Gajah setelah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam kenyataan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berkata, keputusan tersebut dibuat kerana KFA gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit dan slot berkenaan secara automatik ditawarkan kepada Pahang.

Sementara itu Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul mengesahkan tiada pasukan lain akan diberikan slot berkenaan setelah Pahang menolak.

Menurutnya, di bawah peraturan 12.12 Pertandi­ngan AFC, sekiranya kelab yang layak menolak untuk menyertai Pertandingan AFC, walaupun setelah mendapat lesen dan memenuhi kriteria diperlukan, slot yang diperuntukkan kepada persatuan bola sepak negara berkenaan akan dilupuskan, tidak kira sama ada slot itu diperoleh secara langsung atau menerusi playoff.

“Jika ada kelab yang tak nak main jadi slotnya akan hangus,” katanya dalam komen ringkas apabila dihubungi di Kuala Lumpur.

Kelab penyokong Tok Gajah pula menyifatkan keputusan PBNP menolak tawaran menyertai kempen Piala AFC musim depan sebagai langkah tepat.

Wakil kelab penyokong Tok Gajah, Mohd. Jusri Abd. Kadir berkata pihaknya menyokong pendirian PBNP untuk memberikan tum­puan sepenuhnya kepada liga domestik.

Katanya, perubahan pasukan dan keupayaan untuk Pahang melangkah lebih jauh pada musim hadapan memerlukan perancangan yang berkesan dan teliti.

“Keputusan PBNP juga sebagai menjaga nama baik dan maruah bola sepak Malaysia kerana tidak bagus menghantar pasukan yang belum bersedia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.