Dayang Anggap Syamel, Ernie, Salma Pencabar

KUALA LUMPUR – Bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada awal tahun hadapan bermodalkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai, penyanyi Dayang Nurfaizah, 36, akui persaingan kali ini amat sengit.

Bukan sahaja dari aspek kualiti lagu, malah anak kelahiran Kuching, Sarawak itu beranggapan barisan penyanyi yang lolos ke AJL32 juga memiliki mutu suara yang bagus, sekali gus mampu memberi saingan kepadanya untuk mengungguli kategori vokal terbaik.

Berkata kepada Utusan Online, Dayang memberitahu paduan suara Ernie Zakri dan Syamel menerusi lagu duet Aku Cinta dilihat cukup bertenaga.

“Kedua-dua penyanyi itu memang diketahui umum mengenai kepaduan suara mereka. Apatah lagi Ernie seorang guru vokal dan dia tahu cara atau selok-belok untuk menyerlahkan lagi suara mereka.

“Syamel pula selaku komposer lagu berkenaan, dia tahu bagaimana untuk menyusun muzik supaya gabungan vokal mereka berdua benar-benar padu.

“Perlu diingat, duet antara Jaclyn Victor dan Lah Ahmad pernah mengungguli vokal terbaik menerusi lagu Ceritera Cinta. Mungkin Ernie dan Syamel boleh mengulang kembali sejarah tersebut,” katanya.

Tambah Dayang, selain dua nama itu, Salma Asis yang juga mara ke peringkat akhir menerusi lagu nukilan Ajai dan Slen dilihat mempunyai kualiti vokal yang baik untuk mencipta kejutan.

Sebagai seorang berpengalaman, Dayang mengakui Salma miliki nada suara yang tinggi seperti mana dipersembahkan dalam nyanyiannya sebelum ini.

“Apatah lagi karya Akhirnya Cinta merupakan sebuah lagu balada yang hebat, jadi tidak mustahil Salma boleh menyampaikannya dengan baik.

“Asalkan fokus mereka tidak terganggu, semuanya ada hak untuk memenangi kategori tersebut. Bukan mereka bertiga sahaja, malah sesiapa jua.

“Paling penting, berikan persembahan terbaik untuk peminat dan jangan buat silap,” katanya memberi nasihat.

AJL32 mempertandingkan 12 buah lagu kesemuanya dan menyaksikan beberapa nama baharu dalam penggubahan lagu serta barisan penyanyi tempatan mengambil bahagian.

Antaranya ialah Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Hazama The Penglipur Lara, Altimet, Khai Bahar, Hael Husaini, Caliph Busker dan Ara Johari. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.