DAP Didakwa Larang Wakil Rakyat Sertai Majlis Isytihar Harta Anjuran Rafizi

DAP didakwa melarang ahli parlimennya menyertai program akur janji mengisytiharkan harta bersama pusat kajian INVOKE kelolaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Memetik sumber The Star, arahan tersebut dikeluarkan DAP menerusi sebuah memo yang diedarkan kepada semua wakil rakyat DAP menerusi aplikasi Whatsapp.

“Memo itu menyebut “aku janji (mengisytiharkan harta) akan mendatangkan kesusahan kepada parti” terutama ketika pilihan raya semakin tiba,” ujar sumber berkenaan, dipetik The Star.

Enggan dirinya didedahkan, sumber berkenaan menjelaskan memo itu diedarkan didalam perbualan kumpulan aplikasi Whatsapp dengan nama “DAP MPs” yang disertai wakil rakyat dari parti berkenaan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh walaubagaimanapun menafikan kewujudan memo berkenaan.

Minggu lalu, Rafizi mencadangkan agar wakil rakyat Pakatan Harapan mengisytiharkan harta bersama INVOKE menjelang PRU14 disamping berikrar taat setia bersama Pakatan Harapan sekiranya menang pilihan raya.

Rafizi turut mencadangkan agar denda RM20 juta dikenakan kepada mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan yang lompat parti selepas pilihan raya kelak.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sementara itu menegaskan bahawa cadangan tersebut merupakan idea INVOKE, bukannya Pakatan Harapan.

Ujarnya Majlis Presiden Pakatan Harapan belum membuat sebarang keputusan untuk mengisytiharkan harta sepertimana dicadangkan oleh Rafizi.

“Dia yang buat pengisytiharan. Kita tidak tahu apa-apa. Kita ada strategi kita sendiri dan akan ikut keputusan akhir yang akan dibuat Majlis Presiden,” kata Dr Mahathir.

Rafizi mendakwa seramai 30 wakil rakyat Pakatan Harapan sudah menyatakan komitmen untuk mengisytiharkan harta bersama INVOKE, namun Teresa yang juga naib Presiden DAP menegaskan tidak pernah dijemput untuk menyertai program tersebut.

Hannah juga tidak pernah mendapat pelawaan daripada INVOKE atau Rafizi, tetapi beliau menyokong usaha untuk mengisytiharkan harta. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.