Saya Tidak Tahu Kami Bercinta – Remy Ishak

Petaling Jaya – Menjadi artis yang masih hidup solo dan sering ditebak soalan media mengenai kisah cinta bukanlah perkara pelik yang perlu dielak.

Lazimnya, media dan peminat memainkan faktor penting yang menyumbang kepada populariti seseorang artis.

Pelakon Remy Ishak antara artis yang menarik tumpuan ramai peminat apabila gosip terbaru mengatakan dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Nad Zainal.

Mengulas lanjut gosip berkenaan, Remy menyatakan dia mengetahui perkara itu ketika menjalani penggambaran di Bosnia pada masa itu menerusi laman sosial, Twitter.

“Apabila saya terbaca gosip itu, saya tergelak dan berasa ia suatu yang lucu,” katanya.

Jelasnya, mereka digandingkan sebagai adik beradik menerusi drama Antidot dan Nad berlakon sebagai adik.

“Hubungan saya dengan Nad setakat di set penggambaran saja. Jadi, saya tak tahu mana timbulnya mengatakan kami bercinta,” katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada majlis Pelancaran ‘2morrow Fashion Blast Feista’ di Kuala Lumpur, semalam.

Remy yang kini popular menerusi drama bersiri, Kasih Berbisik di TV3, mengakui sebenarnya sedang dalam proses mengenali seseorang iaitu Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof yang juga rakan kongsinya yang bersama menganjurkan acara berkenaan.

“Saya tak mahu cakap lebih bimbang tidak jadi nanti, susah juga lagipun kami masih lagi di tahap berkawan.

“Dia seorang yang matang dan saya selesa berkawan dengannya. Kami baru lebih kurang tiga bulan mengenali dan cuba melangkah ke peringkat yang lebih serius,” ujarnya.

Remy sebelum ini turut dikatakan menjalin cinta dengan seorang pensyarah IPTA, Budi Citawan yang juga anak kepada pelakon senior, Wan Hanafi Su. Namun menerusi laporan media, dia menyatakan hubungannya dengan wanita itu sekadar berkawan.

Dalam perkembangan lain, Remy selesai selesai menjalani penggambaran drama Satu Hari di Bosnia selama sebulan dan kini penggambaran disambung di sekitar Kuala Lumpur.

“Sebulan di Bosnia, banyak perkara saya belajar antaranya ketika menjalani penggambaran, saya sempat melawat beberapa tempat menarik seperti tempat pameran di Sarajevo yang merupakan tempat ribuan umat Islam yang terkorban ketika perang.

“Semasa di sana, ada ketika hati saya tersentuh kerana alangkah bertuahnya kita hidup di bumi Malaysia yang aman damai berbanding nasib di Bosnia,” katanya yang turut menjalani dua lagi penggambaran drama di sana berjudul Paroh Sarajevo dan Cintaku Tertinggal di Mosta.

Selain itu Remy merancang mewujudkan laman sesawang sendiri dengan menggunakan nama ‘2morrow News’ yang berkonsepkan berita fesyen dan gaya hidup.

“Pengisiannya tentang dunia hiburan tetapi lebih kepada berita fesyen dan gaya hidup. Tidak hanya laman sesawang, kami juga akan menwujudkan online TV. InsyaAllah semuanya masih dalam perancangan dan sedang diusahakan,” katanya.

– mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.