Menjelang PAU 2014 : Perwakilan Bakal Bahas Dan Berhujah Isu Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 bakal membuka tirai tidak lama lagi dan Akta Hasutan 1948 adalah antara isu yang akan dibahaskan pada PAU kali ini. Ini menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah untuk memberikan ruang kepada perwakilan untuk melontarkan hujah-hujah konstruktif melibatkan akta ini.

Kekalkan atau mansuhkan?

Apabila berbicara tentang Akta Hasutan 1948 ini maka harus diakui bahawa terdapat lontaran idea bahawa akta yang didakwa bersifat drakonian ini harus dihapuskan sementara ada juga yang berpendapat bahawa akta ini perlu dikekalkan tetapi dengan syarat dibuat beberapa pindaan melibatkan akta tersebut.

Era globalisasi menyaksikan media sosial telah menguasai sepenuhnya komunikasi masyarakat yang tidak lagi bergantung kepada media tradisional lagi. Maka, sesungguhnya kerelevanan akta ini untuk di semak semula adalah perlu memandangkan akta ini bukan sahaja sudah berusia 66 tahun tetapi juga dalam persekitaran politik negara, media sosial tidak boleh dinafikan akan penyumbangannya dalam menimbulkan keadaan kacau bilau, hasutan dan fitnah serta penyampaian maklumat yang tidak benar dan meragukan.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan pendirian kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi hakikatnya kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian. Memetik Laporan Berita Harian bertarikh 7 September 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu bahawa kerajaan memerlukan masa dan kajian terperinci dalam merangka draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 ini nanti.

Maka, sekiranya isu akta hasutan ini dibahaskan di PAU nanti dan kita andaikan bahawa para perwakilan UMNO sebulat suara menolak cadangan Perdana Menteri dan juga Presiden Parti ini untuk memansuhkan akta tersebut maka bukankah ini sama ertinya bahawa suara kepimpinan tertinggi dengan suara akar umbi tidak senada dan tidak menggambarkan pendirian parti yang sebenar. Malah, bukankah ini akan membuka ruang kepada pembangkang untuk memanipulasikan isu ini dalam usaha untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik melibatkan Presiden Parti?

Khayalan pembangkang

Lain pula ceritanya di sebelah pembangkang yang degil mahukan akta ini dihapuskan. Maka, pelbagai cara digunakan untuk menyampaikan mesej betapa akta ini sangat berbahaya dan digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara mereka.

Menurut Prof. Dr. Safar Hasim dalam makalah akademiknya bertajuk ‘Kebebasan Akhbar dan Kebebasan Bersuara: Satu Tinjauan Dari Sudut Perlembagaan Dan Undang-Undang Malaysia’ menulis bahawa Ahli-Ahli Parlimen tidak terkecuali daripada Akta Hasutan 1948. Walaupun Ahli Parlimen diberikan kebebasan bersuara dibawah Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan namun kebebasan bersuara ini tidak kebal dibawah Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna bahawa Ahli-Ahli Parlimen walau sekebal mana mereka di dalam Parlimen namun mereka tetap tertakluk dibawah Akta Hasutan 1948.

Maka, selagi Akta Hasutan 1948 ini tidak dihapuskan maka selagi itulah ahli-ahli politik pembangkang dinegara ini tidak akan dapat mencabar hal-hal yang dianggap sensitif dan melibatkan kepentingan Melayu Islam iaitu Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Melayu dan Bahasa Kebangsaan.

Solidariti untuk semua

Desakan Ahli Parlimen PKR Alor Star yang mahukan Peguam Negara mendakwa Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dibawah kesalahan 298A(1) Kanun Keseksaan serta kedegilan Pakatan Rakyat (PR) yang mahukan beliau diheret dan didakwa di Akta Hasutan 1948 ini tidak mempamerkan pendirian PR dalam konteks menuntut untuk mahukan akta ini dihapuskan.

Jika benar mereka mahukan akta ini dihapuskan sama sekali maka mereka seharusnya redha dalam isu membabitkan Ibrahim Ali dan berdiri teguh bersama Presiden ISMA, Abdullah Zaik yang turut didakwa dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Kenapa semangat ‘‘Solidarity Walk for Dr. Azmi Sharom’ di kampus Universiti Malaya yang menuntut untuk memansuhkan dengan segera Akta Hasutan 1948 disebabkan beliau didakwa dibawah Seksyen 4 (1) (b) dan 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan bakal mencabar kesalahan tuduhan hasutan di Mahkamah Persekutuan ini tidak ditunjukkan kepada Abdullah Zaik misalnya?

Malah, bukankah dengan menuntut menghapuskan Akta Hasutan ini juga mencadangkan bahawa politik pembangkang ini mendukung aspirasi dan aliran pemikiran politik Datuk Seri Najib Tun Razak?

Tersepit antara dua darjat

Dalam berbicara untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 ini, moga perbahasan di PAU nanti akan membuka ruang kepada satu dimensi yang baru dalam mendefinisikan akta hasutan ini secara teoritikal dan praktikal terutamanya dalam melibatkan konteks media sosial. Namun sekiranya perwakilan bersetuju untuk kekalkan akta ini maka itu adalah isyarat jelas bahawa akta hasutan masih berbisa dalam memastikan politik pembangkang tidak melangkaui batas yang ditetapkan.

Manakala pembangkang pula yang mengamalkan prejudis dan diskriminasi dengan hanya memberikan sokongan moral kepada individu-individu tertentu sahaja dalam soal akta hasutan ini adalah gambaran jelas betapa mereka sedang berdepan persoalan moral melibatkan integriti dan kredibiliti mereka.

Sama ada dihapuskan atau dikekalkan, Akta Hasutan 1948 akan tetap menghantui kedua-dua platform politik di negara ini. – FMT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.