Jiran Tidak Peduli Rayuan, Isteri Digilis Depan Mata

Georgetown – “Saya sudah menjerit dan merayu kepadanya beberapa kali supaya tidak terus memandu kerana mahu menarik isteri keluar dari bawah kereta. Tapi, dia tetap berdegil dan terus menggilis isteri saya,” kata Yeoh Beng Kooi, 56, menceritakan detik isterinya dilanggar jiran mereka hingga maut dalam kejadian di Flat Desa Intan, Bandar Baru, di sini, awal pagi semalam.

Menurut penjaja di pasar malam itu, perbuatan suspek memang kejam dan dia langsung tidak menyangka lelaki terbabit sanggup bertindak di luar batasan apabila melanggar dan menggilis isterinya hingga maut.

“Ketika itu, saya bersama isteri dan anak saudara pulang daripada menonton konsert opera berhampiran rumah dan ternampak lelaki itu membuang dua bungkusan sampah di tepi rumah kami.

“Saya dan isteri menegur perbuatannya itu, namun dia langsung tidak mengendahkannya malah cuba melanggar kami,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu melihat isteri yang ketika itu berada di bawah kereta dan menjerit meminta suspek memberhentikan kenderaannya kerana mahu mengeluarkan isterinya terlebih dulu.

“Ketika itu, saya terjatuh dan cedera. Saya hanya mampu melihat tubuh isteri dilanggar dan digilis lelaki itu sebelum anak saudara menghentikan perbuatannya.

“Lelaki itu yang ketakutan keluar dari kereta dan cuba lari, namun anak saudara saya mengejarnya dan beberapa penduduk mengalih keretanya untuk mengeluarkan isteri saya di bawah kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, ketika cuba melarikan diri, suspek terjatuh ke dalam longkang dan meminta pertolongan anak saudaranya.

“Namun, sejurus dikeluarkan, dia sekali lagi dia cuba melibas anak saudara saya dengan sebatang besi.

“Mujur orang ramai melihat kejadian itu dan lelaki itu diberkas sebelum diserahkan kepada polis,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.