Zuraida Setuju Siasat Isu Pengundi Hantu Dalam Pemilihan PKR

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bersetuju supaya satu siasatan dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) termasuk berhubung dakwaan ‘pengundi hantu’ dalam Pemilihan PKR di beberapa cabang di Selangor.

Menganggap dakwaan tersebut sebagai satu gangguan, Ahli Parlimen Ampang itu turut meminta supaya Biro Politik PKR dapat membuat satu saranan kepada JPP agar siasatan menyeluruh mengenainya dapat dilaksanakan.

“Tentang ‘pengundi hantu’ saya dengar berlaku di cabang Petaling Jaya Utara dan Selayang di mana ada petugas parti mendapati ada individu yang datang bukan dari cabang tersebut malah bukan ahli parti.

“Perkara ini sedikit menganggu, siapa yang bawa mereka ke situ dan seolah-olah mereka pun tidak tahu. Jadi perkara ini perlu disiasat seperti apa yang dalam kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ada satu siasatan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Anwar dalam satu kenyataannya hari ini mengarahkan JPP dan Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar ketertiban proses pemilihan parti.

Menurut Anwar, tindakan tersebut harus diambil terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.