“UMNO Bincang Kedudukan Ahmad Zahid Bulan Depan” – Annuar Musa

SHAH ALAM – UMNO dijangka membincangkan kedudukan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Majlis Tertinggi bulan depan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini kedudukan Ahmad Zahid yang menghadapi tuduhan di mahkamah tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.

“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, ketika diminta mengulas sama ada UMNO telah membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Zahid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata UMNO tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyatakan bahawa anggotanya yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti jika menghadapi tuduhan di mahkamah.

Katanya, sebarang keputusan parti dibuat berlandaskan kepada perlembagaan dan peraturan parti sebagai garis panduan atau oleh Majlis Tertinggi jika sesuatu isu itu tidak terkait dengan perlembagaan atau peraturan parti.

“Kita pembangkang, kita belum ada SOP apabila kita dalam pembangkang. Sewaktu dalam kerajaan, kalau orang kita didakwa, mungkin sesuai pada masa itu, tapi segalanya baru bagi kita sekarang, jadi kita boleh bincang,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99; serta 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Presiden UMNO itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM2 juta. 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut diperintahkan menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.