Terengganu Dapat 30,000 Tiket Final Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU – Jualan tiket bagi final Piala Malaysia di antara pasukan Terengganu dan Perak akan bermula Khamis ini dari pukul 10 pagi hingga 2 petang di kaunter Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini bagi kemudahan para penyokong tempatan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 30,000 tiket diperuntukkan, berharga RM50 bagi dewasa manakala kanak-kanak RM10.

Bagi memenuhi hasrat penyokong menyaksikan sekali lagi Terengganu melakar sejarah dalam kejohanan berprestij itu, sesi jualan akan diteruskan keesokannya di kaunter mulai pukul 9 pagi hingga habis dijual.

“Kita dalam keadaan bersiap sedia untuk bertemu lawan dengan latihan intensif dilakukan. Kita akan cuba yang terbaik dan berusaha gigih membawa pulang trofi Piala Malaysia 2018,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas sesi lawatan dan taklimat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Hamat di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Terengganu mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor kelmarin.

Terengganu layak selepas mereka memiliki kelebihan satu jaringan setelah menewaskan JDT 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Oktober lalu.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri belum mengadakan perbincangan terperinci mengenai ganjaran yang menanti skuad Penyu jika berjaya muncul sebagai juara buat kali kedua dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.

“Kita lebih suka menyatakan kepada pemain bahawa yang paling penting mempamerkan komitmen terbaik dan soal ganjaran itu adalah soal kedua dan ketiga.

“Mengenai cadangan cuti pada Ahad jika menang memandangkan faktor lokasi itu, kita akan cuba selesaikan (putuskan) dalam dua hari ini katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.