Tanah Runtuh Bukit Kukus: Operasi SAR Diteruskan

GEORGETOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, diteruskan dengan kerja pengalihan batu dibuat di Sektor 1.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Moktar, berkata operasi SAR kini tertumpu untuk mengalih empat batu besar di atas Sektor 1 selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Tumpuan kita pada pagi ini hanya di Sektor 1 dahulu, iaitu untuk mengalih empat batu besar ini. Sektor 2 dan 3 kita ‘standby’ dahulu sebab terdapat sedikit bahaya di situ.

“Operasi ini sudah pun bermula jam 8 pagi tadi, selepas JMG menjalankan pemeriksaan dan mendapati kawasan runtuhan ini selamat untuk meneruskan operasi SAR,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai tujuh mangsa ditemui maut, manakala tiga cedera dan tiga lagi dikhuatiri tertimbus, selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 1.56 tengah hari, Jumaat lalu.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.