Sultan Sallehuddin Ditabalkan Sebagai Sultan Kedah Ke-29

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini selamat ditabal sebagai Sultan Kedah Ke-29 dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini.

Sebaik selesai ditabalkan, baginda Sultan kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Istiadat Pertabalan baginda itu juga berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat yang sama diadakan pada 1959, iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah Ke-28.

Berangkat hadir menyaksikan istiadat penuh gilang-gemilang itu adalah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut berangkat wakil peribadi Sultan Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaullah dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman; Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff; Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R M Jasni; Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri diringi oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.

Kemudiannya bacaan selawat dilafazkan sebaik baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.