Najib: Eksport Minyak Sawit Negara Menurun Teruk Lepas PRU14

SHAH ALAM – Jumlah eksport minyak sawit negara didakwa menurun dengan teruk selepas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia dapat dilihat dengan membuat perbandingan ketika bulan sama antara 2017 dengan 2018, kecuali pada September lepas kerana kerajaan memansuhkan cukai berkenaan pada kadar lima peratus.

“Ketika pulang ke Pekan semalam, saya meminta pegawai saya untuk membuat sedikit penyelidikan tentang trend eksport minyak sawit negara berbanding negara jiran.

“Jelas ketara eksport minyak sawit negara kita menurun dengan teruk selepas PRU14 berbanding bulan yang sama tahun lalu kecuali bagi bulan September oleh kerana kerajaan telah memansuhkan cukai eksport minyak sawit pada kadar 5% untuk bulan itu. 

“Malangnya, eksport minyak sawit untuk bulan Oktober setakat ini menjunam semula. Untuk separuh bulan pertama Oktober 2018, pakar penyelidik Intertek telah melaporkan bahawa eksport minyak sawit dari Malaysia telah jatuh sebanyak 32.8% berbanding bulan lepas. Jumlah eksport minyak sawit untuk tempoh ini hanya 505 ribu tan iaitu jauh lebih rendah dari eksport 690 ribu tan bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Najib turut memuatnaik carta perbandingan eksport minyak sawit bagi Malaysia dengan Indonesia untuk tahun 2017 dan 2018.

Kata Najib juga, selain dari jumlah eksport yang jatuh, harga pada masa ini juga hanya RM2,200 satu tan berbanding RM2,700 pada bulan yang sama tahun lepas.

“Eksport minyak sawit dari negara jiran pula meningkat setiap bulan berbanding tahun lepas.

“Jelas ketara perbezaan dalam trend eksport untuk negara kita berbanding negara Indonesia.

“Mengapa tiba-tiba berlaku perbezaan besar untuk trend ataupun corak eksport minyak sawit negara kita dengan Indonesia selepas PRU14?,” soalnya.

Najib sebelum ini menegur tindakan kerajaan mengenakan cukai lima peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit yang didakwanya menjadi faktor penyumbang dalam penurunan eksport komoditi tersebut kepada negara.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, penganalisis pasaran turut berpendapat ia merupakan faktor utama penyusutan permintaan dan penurunan harga.

Katanya, kerajaan BN sebelum ini menggantung cukai berkenaan untuk empat bulan pertama tahun ini bagi memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan pasaran minyak kelapa sawit Malaysia terus berdaya saing serta kompetitif di pasaran antarabangsa. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.