Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin berkata, langkah ‘disekolahkan’ itu membolehkan menteri dan timbalan menteri PH mendapat banyak manfaat terutama dalam mengubah acuan minda masing-masing.

Katanya, ubah acuan minda itu termasuklah daripada pembangkang kepada kerajaan, daripada bercakap kepada bekerja dan daripada omong kosong kepada mengisi kekosongan.

“Ingatlah, jika pada 9 Mei rakyat jelata boleh menendang keluar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama 61 tahun, apalah sangat dengan PH yang baru setahun jagung,” katanya menerusi catatan blog beliau.

Menurut A. Kadir, tidak memadai hanya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi guru dan mentor.

“Memanglah hebat dan istimewa dididik oleh Perdana Menteri, tetapi masa terlalu suntuk untuk tujuan itu.

“Sebelum terlambat dan rakyat jelata hilang keyakinan kepada kerajaan PH, saya rasa elok menteri, menteri besar, ketua menteri dan semua wakil rakyat PH disekolahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE