Hishammuddin Tawar Diri ‘Cari’ Jho Low Di Cina

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menawarkan diri untuk membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low balik ke Malaysia jika benar ahli perniagaan itu berada di China.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Tugas-Tugas Khas, berkata beliau bersedia menggunakan jaringan hubungannya dengan China untuk mencari Jho Low ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi merungkai segala persoalan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau atas kapasiti peribadi, akan berbincang dengan rakannya di China bagi memastikan kesahihan khabar angin mengenai keberadaan Jho Low di China dan sanggup ke sana untuk membawa ahli perniagaan kontroversi itu berdepan keadilan.

“Secara peribadi, saya mahu melihat isu 1MDB ini dapat diselesaikan, nak tahu hujung dan pangkalnya.

“Jika Jho Low berada di China, saya secara peribadi akan ke negara itu untuk mencari dan membawanya ke muka pengadilan, kerana kes 1MDB ini tidak akan selesai jika dia kekal di luar negara.

“Kalau saya boleh bantu, sampai ke lubang cacing saya akan cari,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan mengenai khabar angin mengatakan Putrajaya ada meminta bantuannya selalu bekas Menteri Kabinet untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-China.

Sebelum ini, beberapa media tempatan dan antarabangsa melaporkan Jho Low berkemungkinan berada di China, selain Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut dilaporkan berkata, Malaysia sedang mengatur ‘usaha persendirian’ bagi membawa pulang ahli perniagaan itu dari negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berikrar akan mencari dan membawa pulang Jho Low walaupun tidak diminta oleh kerajaan kerana perkara itu tidak ada kaitan dengan statusnya sebagai pembangkang atau sebaliknya.

“Saya tak terikat dengan mana-mana pihak, ini atas kapasiti peribadi kerana daripada dulu lagi saya nak tahu hujung pangkal, kebenaran dan penyelesaian kes 1MDB,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu mengenai lokasi Jho Low ketika ini, Hishammuddin berkata, akan menghubungi rakan dan kepemimpinan China bagi mengesahkan lokasi ahli perniagaan itu.

“Saya perlu ke sana. Saya perlu bertanya dengan kepemimpinan China sama ada khabar angin itu benar atau tidak dan jika benar, saya perlu tahu mengapa mereka ‘menyimpannya’,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.