Azmin Dahului Rafizi Dalam Pemilihan PKR Di Selangor

SHAH ALAM – Pemilihan PKR 2018 di Selangor yang memasuki fasa kedua menyaksikan Rafizi Ramli masih mengekori rapat penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.

Ini kerana daripada tujuh cabang yang mengadakan pengundian semalam, tiga daripadanya iaitu Klang, Puchong dan Selayang memilih Rafizi manakala Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Kuala Langat dan Gombak memberi sokongan kepada Azmin.

Rafizi memperoleh 4,385 undi manakala Azmin mendapat 4,978 dengan kelebihan 593 undi.

Azmin kini menang di 10 cabang berbanding enam yang diperoleh Rafizi sejak pemilihan bermula di Selangor.

Ada enam lagi cabang yang belum membuat pemilihan iaitu Shah Alam, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Langat, Pandan dan Ampang.

Pada pemilihan sama juga menyaksikan calon Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar memperoleh 5,710 undi, Zuraida Kamaruddin mendapat 4,771 undi, Tian Chua (4,169) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (3,672).

Jawatan Ketua Wanita Keadilan menyaksikan calon dari Selangor, Haniza Mohd Talha menang di lima cabang iaitu di Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Selayang, Gombak, dan Kuala Langat dengan jumlah undi keseluruhan dari tujuh cabang sebanyak 2,606 pada fasa kedua pemilihan di Selangor.

Pesaingnya, Fuziah Salleh mengumpul sebanyak 2,156 undi pada minggu kedua pemilihan di Selangor dengan menang di Klang dan Puchong.

Dr Daroyah Ali yang bertanding jawatan Timbalan Ketua wanita Keadilan pula menang di Kuala Langat, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Selayang dan Gombak dan memperoleh sebanyak 2,471 undi manakala lawannya, Rodziah Ismail menang di Klang dan Puchong dengan keseluruhan undi sebanyak 2,023 undi.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Akmal Nasullah Mohd Nasir menang di Selayang, Puchong, Petaling Jaya Selatan, Klang dan Kuala Langat dengan undi dari tujuh cabang itu sebanyak 1,268 manakala Dr Afif Bahardin menang di Petaling Jaya Utara dan Gombak dengan undi sebanyak 1,199.

Seorang lagi calon jawatan itu, Mohd Najwan Halimi tidak menang di mana-mana cabang dan memperoleh 210 undi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.