Teater Kontena 404: Izreen Azminda Tarik Diri

KUALA LUMPUR: Terkilan dengan pihak produksi DBI Entertainment Sdn Bhd yang didakwa bersikap tidak acuh, Izreen Azminda, membuat keputusan menarik diri daripada pementasan teater Kontena 404.

Pementasan teater terbabit dijadualkan di Istana Budaya, bermula hari ini.

Izreen yang juga duta barangan penjagaan diri di bawah kumpulan syarikat DBI berkata, sepatutnya pihak berkenaan sudah menjelaskan bayaran membabitkan beliau dengan produk terbabit sebelum memulakan latihan teater.

Begitupun, dakwa pelakon ini, sehingga kini dirinya belum menerima sebarang bayaran.

Selain mendakwa pekerja syarikat berkenaan tidak memiliki etika dalam pekerjaan, mereka juga katanya, mempunyai masalah komunikasi.

“Bagi teater ini, saya tidak kisah apabila mereka menawarkan saya bayaran rendah, dengan syarat DBI perlu menjelaskan bayaran saya sebagai wakil produk syarikat itu.

“Pada mulanya, mereka berjanji akan menyelesaikan bayaran saya sebagai duta produk sebelum 15 Oktober, tetapi sehingga ke hari ini ia hanya janji kosong,” katanya kepada BH Online.

Memahami situasi dihadapi syarikat berkenaan apabila seorang ahli lembaga pengarahnya ditahan reman baru-baru ini, namun sebagai rakan artis yang pernah bekerjasama dengan pihak terbabit, Izreen bersikap terbuka dalam sebarang perkara yang berlaku.

Malah, kata pelakon drama Lelaki Macam Dia itu, bukan sekadar menjalani latihan teater terbabit, beliau juga sudah bersedia untuk meneruskan pementasan Kontena 404.

Bagaimanapun, berikutan isu bayaran itu, beliau terpaksa menarik diri.

“Pekerja syarikat itu langsung tiada adab ketika bercakap. Kalau mereka cakap elok-elok dan jelas, saya masih lagi boleh ‘beri muka’. Tetapi cara mereka langsung tidak menghormati saya,” katanya.

Sementara itu, wakil DBI yang enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan mengesahkan, Izreen tidak lagi terbabit dengan teater itu.

Kontena 404 yang diarahkan oleh Raja Azrey turut dibintangi oleh Miera Leyana, Tauke, Rani Kulup dan Adam AF.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.