Lelaki Maut Akibat Merempit

BANDARAYA MELAKA – Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Melaka selepas terlibat kemalangan yang turut membabitkan lapan motosikal lain di Jalan Pantai Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini, awal pagi Sabtu.

Faisal Hanafi, 21, dikatakan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital manakala dua rakannya, masing-masing mengalami patah paha kanan dan kaki kiri.

Sementara beberapa penunggang lain pula luka pada badan, leher, mulut, hidung, kaki dan tangan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika mereka berlumba di laluan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal mereka telah bertembung dan bergesel sesama sendiri ketika menghala dari Jalan Limbongan ke arah Dataran 1Malaysia.

“Setakat ini, empat daripada mereka sedang menjalani rawatan lanjut dan ditahan wad manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

“Kesemua mereka yang terbabit berusia antara 16-21 tahun. Ada yang sudah tidak lagi bersekolah, bekerja sebagai buruh dan penganggur,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sham berkata, polis kesal berikutan terdapat pihak yang membawa motosikal berkenaan pulang selepas kemalangan.

“Polis kini sedang mengesan waris dan rakan mangsa yang mengalihkan motosikal itu daripada lokasi kemalangan.

“Pihak yang terlibat diminta menyerahkan motosikal itu kepada polis segera untuk dihantar ke Puspakom bagi tujuan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang terlibat juga sudah ditahan manakala sampel darah mereka diambil untuk dihantar ke makmal bagi tujuan dianalisis.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami juga ingin menasihatkan ahli keluarga terutama ibu bapa supaya mengambil berat setiap aktiviti anak-anak lebih-lebih pada waktu lewat malam,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.