Lelaki Hilang Ditemui Mati Tergantung Dalam Hutan

KUALA PILAH – Seorang lelaki dari Kampung Orang Asli Bari, Johol, di sini, yang hilang sejak tiga hari lalu, ditemui dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di Kampung Senarak Inas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata mayat lelaki yang masih bujang berusia 34 tahun itu, ditemui abang iparnya, Nizam Damut, 40, kira-kira jam 1.10 petang.

Katanya, keluarga mula mencari mangsa sejak tiga hari lalu, sebelum mengambil keputusan masuk ke hutan sejauh dua kilometer sehingga terhidu bau busuk.

“Tidak lama kemudian mereka menemui beg sandang, pakaian, sumpit dan jaket dipercayai milik mangsa.

“Apabila mencari di kawasan sekitar, mereka menemui mayat mangsa dalam keadaan berulat tergantung pada sebatang pokok,” katanya di sini, hari ini.

Haslah berkata, selepas mengecam mayat mangsa, mereka memaklumkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, untuk bedah siasat. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.