Khalid: Ada ‘Godfather’ Bukan Hinaan Tapi Pujian

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata kenyataannya bahawa Zamihan Mat Zin mempunyai godfather adalah satu pujian dan tidak menghina.

Katanya, beliau bimbang sekiranya Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wah Jamaah (Aswaja) itu tersalah tafsir maksud ‘godfather’ sebenar yang menurut Khalid, merujuk kepada “pelindung”.

“Dia tak faham istilah godfather itu. Mungkin dia ingat ‘God’ adalah tuhan dan ‘father’ itu paderi. Tapi godfather ini seorang yang menyokong dan melindungi. Ia satu benda bagus, dan hebat.

“Ini bermakna ada orang lindungi dia sampai dia pergi mana-mana pun tak boleh sentuh. Ia satu pujian,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar semalam.

Khalid berkata demikian selepas Zamihan mengancam untuk menyaman Khalid berhubung tuduhan beliau mungkin dilindungi godfather.

Khalid bagaimanapun berkata beliau bersedia berhadapan dengan saman itu sekiranya Zamihan meneruskan niatnya dan akan mengemukakan bukti kepada pihak mahkamah.

“Kalau dia nak bukti kenapa saya kata ada godfather saya akan tunjuk bukti. Dia kata mufti bodoh tapi tak diambil tindakan, maknanya ada yang lindungi dia.

“Jadi saya kena bawa bukti ke mahkamah dan tunjuk kenapa dia ada godfather,” katanya.

Pada 17 Okt lalu Malaysiakini melaporkan Khalid sebagai berkata ada kemungkinan Zamihan dilindungi godfather – istilah yang selalunya dikaitkan dengan pihak yang berpengaruh.

Malah kata Khalid, godfather terbabit cuba mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menyelamatkan penceramah terbabit susulan ucapan kontroversinya di sebuah masjid di Selangor baru-baru ini.

“Ustaz Zamihan ada dia punya godfather dia, ini bukan baru, dia selamba sahaja kata orang itu, ini… tapi tak ada tindakan yang diambil. Sampai sekarang ini hentam sultan pun boleh.

“Godfather nak jumpa sultan nak merayu pada Sultan, nak mengadap Sultan Johor,” katanya.

Nama Zamihan menjadi perhatian ramai ekoran kelantangannya menyampaikan pandangan semasa memberikan ceramah atau kuliah.

 

Baru-baru ini dia ditahan reman dua hari oleh polis di bawah Akta Hasutan ekoran kritikannya ke atas Sultan Ibrahim yang mengarahkan dobi mesra muslim di Muar, Johor menukar polisi perniagaannya yang mencetuskan kontroversi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini telah mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membatalkan tauliah yang diberi kepada Zamihan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.