Jagakan Dia Jadi Harapan Shiha Zikir

MENYIFATKAN kerjayanya kian bersinar, penyanyi ‘kelahiran’ Mentor musim kelima, Shiha Zikir terharu menerima maklum balas peminat.

Pemilik nama sebenar, Nurshiha Mohd ini kini boleh melirik senyum lebar selain mendengar kata-kata semangat daripada peminat.

Luah penyanyi yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 2 November depan ini lagi, dia sudah kalis dengan pernyataan ramai mengenai kedudukannya dalam dunia seni.

Meski barisan singlenya menjadi siulan, namun Shiha sedar kemunculannya tidaklah serancak selebriti lain yang memiliki kuasa media sosial.

Bagaimanapun, Shiha sentiasa bersyukur, kerana mampu memberi yang terbaik buat pencinta seni dan paling penting, peminat setianya sendiri terus berdiri di belakang.

Mempunyai barisan pengikut yang kuat di Indonesia, bintang ini berterusan memasang visi untuk terus berkarya. Tiada langsung istilah mengalah atau berputus asa diri sebaliknya, penyanyi iras Rossa ini tekad mahu melakukan yang terbaik, apatah lagi Shiha kini muncul dengan single terbaru.

Lagu berjudul Jagakan Dia itu dinukil sepenuhnya komposer dan penyanyi muda berbakat besar, Ippo Hafiz. Bagi Shiha, lagu tersebut begitu dekat dengan diri, khasnya jalan cerita yang terinspirasi daripada kenalan rapat.

Suntik emosi menerusi muzik video

Berkongsi mengenai proses merakam lagu Jagakan Dia, Shiha yang sebelum ini popular menerusi lagu Seperti Novel Cinta memberitahu, dia sukar menerima sebarang lagu dengan mudah sebaliknya, sikap ‘fussy’ memilih mendorongnya bertemu ramai komposer dalam usaha mencari naskhah terbaik.

Pertemuan dengan Ippo membuahkan hasil apabila dia diberitahu komposer itu menyimpan sebuah lagu yang sudah lama dihasilkan, tetapi masih belum menemui penyanyi yang sesuai.

Justeru, kata Rossa, dia mengambil peluang mendengar demo dan hatinya terus rasa dekat dengan lagu Jagakan Dia.

“Ibarat dekat dengan diri, apatah lagi ia mengenai perjalanan cinta yang ada konfliknya. Saya setuju untuk merakamnya dan Alhamdulillah, akhirnya single ini dilancarkan dengan jayanya,” kata Shiha kepada Media Hiburan sejurus ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain melancarkan single, majlis tersebut turut mengumumkan nama Shiha sebagai duta label kecantikan terkenal, Airish London yang dirasmikan Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.

Selebriti berasal Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini ternyata berbesar hati menerima tawaran tersebut, apatah lagi dia adalah pengguna produk berkenaan sejak sekian lama.

“Kepercayaan mereka pada saya adalah satu amanah terbesar. Jadi, sudah pastinya saya cuba menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin, Insya-ALLAH,” tekad Shiha yang dilantik sebagai jurucakap untuk tempoh setahun.

‘Perah’ emosi demi muzik video

Shiha turut membuka sisi baru dalam kerjayanya apabila tampil sebagai pelakon di dalam muzik video Jagakan Dia.

“Memang sebelum ini saya pun turut tampil dalam muzik video. Namun kali ini agak berbeza kerana saya perlu ‘perah’ emosi untuk menyuntik elemen drama untuk lagu tersebut. Syukurlah, akhirnya kami dapat yang dimahukan. Meski penat, tapi berbaloi,” akui Shiha optimis.

Turut beraksi di dalam muzik video berkenaan ialah aktor terkenal, Saharul Ridzwan.

Ditanya mengapa mengambil hero drama Tauke Jamu sebagai pelakon utama di sampingnya, bintang D’Academy Asia itu tidak menolak bakat dan keberkesanan lakonan Saharul menjadi sebab utama dia memilih pelakon berkenaan.

“Kami ada beberapa nama. Bagaimanapun, saya lebih tertarik pada lakonan Saharul. Jadi, saya hubunginya sendiri menerusi Instagram dan Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Dia memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran sekali gus memudahkan saya untuk mendapatkan chemistry.

Shiha yang periang ini juga berkongsi pengalaman bahawa tidak sukar baginya membawakan babak air mata biarpun ada kru yang pelik dengan kerana penyanyi itu boleh melakukan saat beremosi itu dengan mudah.

“Sebab itulah, kalau diberi pilihan sama ada mahu berlakon watak garang atau air mata, rasanya saya akan pilih watak air matalah,” seloroh Shiha yang turut berharap muzik video tersebut dapat diterima baik pencinta muzik tempatan.

Rasa puas, berbaloi

Sementara itu, Shiha juga berterima kasih kerana beberapa pihak yang menyuntik dana bagi menghasilkan muzik video berdurasi lebih lima minit itu. Malah, dia sendiri turut berhabis demi menghasilkan muzik video yang mencapai standard yang dimahukan.

“Alhamdulillah, beberapa pihak termasuk pihak Airish London sendiri ada membantu di dalam menyiapkan muzik video ini. Rasanya bila boleh buat apa kita mahukan, barulah saya puas dan berbaloi dengan apa yang sudah dikeluarkan.

“Tambahan pula, saya kini sudah bergerak bersama syarikat pengurusan sendiri, SZ Entertaiment yang ditubuhkan sejak awal tahun lalu. Oleh itu, sudah tentulah kami mahukan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Semoga anda semua menyukainya,” akhiri Shiha yang turut sibuk menguruskan peniagaan kanta lekap miliknya menerusi dalam talian, Shiha Lens. Terdahulu, Shiha turut merancang untuk melancarkan beberapa item solekan sendiri tahun hadapan.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.