Indah Ruhaila Ramal Idayu Juara

KUALA LUMPUR: Indah Ruhaila, meramalkan sahabat baiknya, Idayu, bakal menjuarai program realiti AF Megastar, Ahad ini.

Menurut Indah, bekas peserta Akademi Fantasia 3 (AF3) itu layak untuk menang, bukan saja kerana mempamerkan persembahan konsisten sepanjang pertandingan, malah memiliki aura sebagai juara.

“Kalau boleh, saya nak lihat peserta perempuan menjadi juara dan orang itu sudah semestinya Idayu yang saya anggap sebagai kakak.

“Saya rasa, dia paling layak, terutama dari sudut vokal dan persembahan. Idayu juga peserta yang berkeyakinan dan memiliki aura untuk menjadi seorang juara,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kuala Lumpur Wedding Festival, di sini.

Indah, 30, hadir ke majlis berkenaan bagi menggayakan busana perkahwinan rekaan Rico Rinaldi.

Yang turut hadir, pelakon, Ruhainies dan Serina Redzuawan; wakil penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Terra Juta, Shamsul Amir; dan barisan pereka fesyen terkenal termasuk Rizman Ruzaini serta Azura Mazaruddin.

Mengakui mengagumi Idayu sejak berada dalam AF3 lagi, Indah berkata, sehingga sekarang beliau tidak dapat melupakan persembahan rakannya itu ketika menyampaikan lagu Hurts pada peringkat saringan AF Megastar.

“Sudah lama tidak melihat dia menyanyi dan sebaik saja menonton persembahannya malam itu, saya jadi terpegun. Sepanjang mengenalinya di AF Megastar, dia seorang yang tidak lokek ilmu dan selalu memberikan bimbingan kepada saya,” katanya.

Indah juga adalah seorang daripada 12 peserta AF Megastar, namun tersingkir pada peringkat suku akhir.

Idayu, 32, akan berentap dengan empat lagi finalis pada saingan akhir AF Megastar, iaitu Marsha, Bob, Syamel dan Shahir.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.