Belum Terbuka Hati Berlakon Bersama

JIKA diukur populariti yang dimiliki keluarga ini, ramai yang mengakui sama ada Scha Alyahya, Awal Ashaari mahupun anak mereka, Lara Alana, masing-masing punya pengaruh sendiri.

Justeru tidak hairanlah mereka boleh dikatakan antara power couple selain daripada beberapa pasangan selebriti lain. Setiap yang mereka lakukan, dalam aspek apapun pastinya mengundang perhatian umum.

Semestinya dengan populariti yang dikecapi, ada ‘bayaran’ yang harus ditanggung. Kecaman dan kritikan terhadap pasangan ini langsung tidak merencatkan langkah mereka dalam industri seni.

Kekuatan dan semangat mereka jelas dibuktikan dengan cara masing-masing mengendali satu-satu isu. Tiada istilah melenting, sama ada Scha atau Awal, mereka bijak mengawal emosi dan melontarkan kata.

Diaju soalan, tidakkah terfikir di lubuk hati masing-masing untuk berlakon bersama-sama ketika populariti berada di puncak sementelah kedua-duanya tidak pernah digandingkan sebelum ini.

Menjawab pertanyaan, Scha tidak menolak seandainya ada tawaran dan peluang sebegitu. Cuma dia sedar, suaminya kini hanya ingin memberi fokus kepada dunia pengacaraan.

“Setiap tahun mesti ada satu atau dua drama yang saya lakonkan. Sebab bagi saya, itu adalah strategi untuk kita kekal relevan.

“Macam Awal lain pula, dia tak nak berlakon. Dia lebih suka mengacara. (Hanya) dua jam sahaja mengendalikan majlis dan selepas itu semuanya selesai.

“Bagaimanapun saya tak pernah suarakan hasrat atau bertanya tentang lakonan dengannya. Kalau dia rasa nak berlakon nanti, saya okay sahaja.

“Cara kerja kami sangat berbeza jadi keinginan untuk berlakon bersama itu tidak ada. Susahlah, nanti di rumah pun sudah banyak drama, di set pun mahu berdrama dengan dia,” seloroh pelakon yang bakal terlibat dalam sebuah filem baharu bulan hadapan.

Berbeza dengan Awal, sebab utama dia menolak tawaran untuk berlakon adalah kerana dia merasakan dirinya tidak cukup hebat jika dibandingkan dengan hero-hero drama sedia ada sekarang.

Apatah lagi, perasaannya juga bercampur baur antara janggal dan tidak biasa kerana sudah hampir enam tahun tidak menjejakkan kaki ke set penggambaran drama ataupun filem.

“Saya sekarang lebih mengutamakan dunia pengacaraan dan perniagaan yang semakin giat kami ceburi. Jadi tak teringin untuk berlakon. Tawaran sentiasa ada tapi itulah hati belum terbuka.

“Lagipun lakonan saya tidaklah sehebat mana. Ramai lagi pelakon lelaki yang layak menggantikan saya. Biarlah saya terus mengacara dan memberi fokus kepada perniagaan.

“Berlakon ini sangat teknikal dan saya macam sudah tidak reti untuk berlakon. Cuma ada juga orang kata, ini semua bergantung kepada soal mahu atau tidak.

“Buat masa sekarang, jawapannya tidak,” katanya yang pernah popular dengan filem I’m Not Single.

Pentingkan penjagaan kesihatan

BERBICARA dengan Awal dan Scha semasa program kesedaran Kanser Barah anjuran Yakult baru-baru ini, kedua-dua selebriti ini mengakui mereka sangat mementingkan penjagaan kesihatan masing-masing.

Tidak hairanlah jika mereka sekeluarga akan membuat pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi mengesan dan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap pelbagai masalah kesihatan.

“Scha umpama doktor saya kalau di rumah. Kalau saya balik kerja, selalunya dia akan terus ambil alat ujian darah dan memeriksa kesihatan saya. Lagipun keluarga saya mempunyai sejarah kanser, jadi kena berhati-hati.

“Sejak beberapa tahun lepas pun, kami sepakat untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Pemakanan harus dijaga dan dikawal. Malah kami juga akan memastikan walau sibuk macam mana pun, tetap kena bersenam dan aktif.

“Nenek saya meninggal dunia kerana kanser dan bapa saya pun pernah menghidap kanser usus. Saya kena berjaga-jaga dan sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan,” kata Awal yang turut pernah menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu pada pertengahan tahun lalu.

Bukan sekadar mahu popular

Baru sahaja tamat mengacarakan program Hero Remaja 2017, Scha mempunyai pendapat sendiri berhubung dakwaan para peserta program realiti tersebut dilihat terlalu mengejar populariti.

Mengulas dakwaan tersebut, jelas pengacara berusia 34 tahun ini, dia memahami mengapa peserta program tersebut dilihat terlalu mengejar populariti yang mungkin disebabkan oleh persaingan dunia seni.

“Saya nampak mengapa mereka terlalu dilihat ‘hadap’ dengan populariti. Mungkin kerana sekarang ini, hendak popular dan glamor itu sangat mudah. Melalui sosial media juga sudah dikira popular.

“Mereka sudah mula membentuk diri sendiri untuk menghadapi perkara tersebut. Tetapi pada masa yang sama, mereka perlu ada objektif dalam menceburi dunia seni yang kita semua sedia maklum, banyak cabaran.

“Sama ada positif atau tidak objektif mereka, itu bergantung kepada diri sendiri. Yang penting adalah bagaimana kita mahu kekal relevan dalam industri, Itu perkara utama yang perlu diutamakan,” kata pelakon drama Awan Dania ini.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.