Tingkatkan Kerjasama Dengan Negara Bukan Islam Tangani Islamophobia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Malaysia meminta negara Islam mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani masalah Islamophobia yang dihadapi oleh dunia pada masa kini.

 

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa sama, negara Islam juga perlu meningkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam bagi membetulkan persepsi salah negara itu terhadap Islam.

 
Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya yang julung kali diadakan di sini hari ini, beliau berkata negara bukan Islam mempunyai persepsi salah terhadap Islam disebabkan kelakuan sebilangan kecil orang Islam.

 
“Perbuatan segelintir yang menyalahtafsirkan Islam telah menyebabkan Islam itu tercalar,” katanya.

 
Timbalan perdana menteri berkata pemahaman dan kerjasama antarabangsa untuk memahami makna ajaran Islam harus diberi perhatian agar tidak berlaku lagi salah tanggapan terhadap Islam.

 
Sebagai contoh, kata Ahmad Zahid, Malaysia telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak penguat kuasa China berhubung cara mengatasi Islamophobia di negara itu.

 
Beliau berkata Australia juga pernah menyuarakan hasrat untuk belajar daripada Malaysia tentang pendekatan yang digunakan berkaitan pemulihan terhadap golongan yang menjadi radikal.

 
Di dalam negara pula, katanya, Malaysia mewujudkan kerjasama rapat di kalangan agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam di samping Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk memerangi keganasan.

 
Katanya Kementerian Dalam Negeri juga mempunyai panel khas untuk melakukan pemulihan terhadap mereka yang diradikalkan, terdiri daripada polis, JAKIM, pakar psikologi dan ulamak bagi membetulkan kembali akidah mereka.

 
Panel itu telah lama diwujudkan dan bukan baru selepas kumpulan militan IS mula masuk ke negara ini, tegas beliau.

 
Beliau berkata sebelum ini kerajaan Malaysia menghadapi masalah hampir sama dengan kumpulan berbentuk radikal dan militan seperti kumpulan Al-Maunah serta kumpulan pengikut ajaran sesat di Memali.

 
Ahmad Zahid berkata hakikat bahawa Malaysia dipilih oleh Amerika syarikat untuk mewujudkan pusat digital serantau bagi mengekang pengaruh dan propaganda kumpulan pelampau melalui media sosial juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha yang dilakukan Malaysia untuk memerangi keganasan.

 
“Ini adalah peranan penting dan kepercayaan yang diberi kepada Malaysia.

 

 

“Saya berpendapat kita berupaya untuk menterjemahkan komitmen ini dengan melipatgandakan usaha bukan sahaja oleh polis tetapi juga oleh agensi penguatkuasaan lain untuk membantu komuniti antarabangsa memerangi keganasan,” katanya.

 

 

Terdahulu, dalam ucaptamanya, timbalan perdana menteri menggesa ASEAN dan rakan serantaunya agar mempertingkatkan kerjasama dalam memerangi keganasan.

 

 

Sambil menarik perhatian bahawa dunia kini berdepan musuh umum dalam keganasan, Ahmad Zahid berkata negara terbabit juga perlu memperkukuhkan rangkaian dalam memerangi jenayah rentas sempadan.

 

 

“Kita perlu mempertingkatkan kerjasama, bukan sahaja untuk mengumpul pendapat, tetapi juga pengalaman serta amalan kita dalam memerangi ancaman,” katanya.

 

 

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pakar dan pegawai keselamatan menghadiri dialog dua hari itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.