Taufan Koppu Mengganas Di Luzon

MANILA – Penduduk di kampung-kampung pertanian yang dilanda banjir di Filipina berlindung di atas bumbung kediaman mereka semalam selepas Taufan Koppu menurunkan lebih banyak hujan di pulau terbesar di negara itu, Luzon.

 

 

Koppu merupakan ribut kedua terkuat yang melanda Filipina pada tahun ini.

 

 

Pihak berkuasa berkata, taufan itu membunuh sekurang-kurangnya 16 orang, manakala lebih 60,000 penduduk terpaksa berpindah.

 

 

Selepas tiba di pantai timur Luzon pagi kelmarin, Taufan Koppu membawa hujan lebat ke kawasan pertanian utama di negara itu.

 

 

“Saya tidak pernah melihat banjir seteruk ini,” kata seorang petani, Reynaldo Ramos, 68, kepada agensi berita AFP di Santa Rosa, kira-kira dua jam pemanduan ke utara Manila.

 

 

Seorang pegawai operasi menyelamat, Nigel Lontoc berkata, pihak tentera, kerajaan tempatan dan unit sukarelawan sedang cuba untuk membantu penduduk di sekitar 70 buah kampung yang ditenggelami air ketika banjir terus merebak.

 

 

“Air banjir naik begitu cepat dengan ramai mangsa terpaksa ber­lindung di atas bumbung rumah.

 

 

“Air bah terlalu dalam walaupun untuk trak tentera. Kami berusaha untuk sampai kepada mereka menggunakan bot-bot getah,” katanya.

 

 

Menurut Lontoc, hanya 10 pasukan penyelamat yang dapat dikerahkan pada masa ini.

 

 

Katanya lagi, beribu-ribu orang dipercayai terperangkap di kampung-kampung yang terlibat banjir, namun bilangan sebenar mereka masih belum dapat dipastikan.

 

 

Di Santa Rosa, sebilangan kerbau, babi, kambing, mesin basuh dan perabot diletakkan di tepi sebuah lebuh raya yang menjadi tempat kira-kira 200 penduduk berlindung sejak malam kelmarin.

 

 

“Air naik secara tiba-tiba,” kata seorang mangsa banjir, Jun Paddayuman.

 

 

Taufan Koppu melanda Filipina sehingga esok tetapi kelajuannya diramalkan menurun kepada 150 kilometer sejam, menurut agensi meteorologi tempatan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!