Rafizi Dipelawa Serah Dokumen Bantu Percepat Siasatan

KUALA LUMPUR – “Sepatutnya Rafizi Ramli serahkan dokumen kepada badan penyiasat supaya kerja-kerja siasatan ke atas hartanah Mara yang dibeli di Australia dapat dipercepatkan,”.

 

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa juga dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan itu jika tidak disertakan bukti hanya akan melambatkan proses siasatan.

 

“Isunya bukan pembelian hartanah itu merugikan Mara malah masih menguntungkan tetapi Rafizi mendakwa pembelian itu sepatutnya boleh didapati pada harga yang lebih rendah.

 

“Kemudian terkait pula dengan beberapa nama yang kononnya terlibat dalam transaksi jual beli hartanah tersebut padahal kita dapat keuntungan daripada pembelian tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen petang tadi.

 

Annuar bagaimanapun berterimakasih kepada Rafizi yang begitu prihatin tentang pembelian hartanah itu tetapi tidak bersetuju dengan kenyataannya yang mengatakan Mara tidak berbuat apa-apa dalam siasatan tersebut.

 

“Sebenarnya bukan kita tak buat apa-apa sebaliknya kita tak mahu campur urusan siasatan kerana takut mengganggu. Pada masa sama, kita bantu badan penyiasat setiap kali diperlukan.

 

“Malah kita bayar mahal untuk lakukan audit forensik supaya semua pihak berpuas hati dengan hasilnya dan tidak ada lagi sebarang dakwaan yang tidak berasas.

 

“Cuma saya harap agar Rafizi bantulah badan siasatan dengan menyerahkan apa juga dokumen yang dia ada kalau mahukan kes ini cepat diselesaikan,” ujarnya.

 

Tambah Annuar lagi, pihaknya tidak menetapkan sebarang tarikh untuk siapkan siasatan tersebut dan tidak akan mendesak hanya untuk kepentingan seseorang .

 

“Kalau Rafizi nak cepat, dia kena bantu dan beri kerjasama sepenuhnya. Kita tidak akan menyembunyikan apa-apa kerana kita juga mahukan siasatan yang telus,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.