Pakatan Harapan Mahu Kekalkan BR1M, Ubah Cara Bayaran – Wan Azizah

PETALING JAYA – Pakatan Harapan akan membuat rombakan terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bagi memastikan keberkesanan pelaksanaanya sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.

 

Perkara itu dimasukkan dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu di Parliman bertemakan ‘Mengelakkan Krisis’.

 

“Kami sedar bahawa model BR1M sekarang adalah tertakluk kepada unsur-unsur politik dan rasuah. Maka sistem yang lebih telus, cekap dan bersyarat adalah diperlukan,” katanya.

 

Pakatan Harapan percaya pembatalkan BR1M secara mengejut akan membawa lebih mudarat berbanding kebaikan.

 

Pakatan Harapan mencadangkan rombakan terhadap BR1M dengan menggunakan sistem yang dipakai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dimana pembayarannya dibuat melalui penambahan gaji oleh setiap majikan.

 

Kedua, memperkenalkan sebuah lagi bentuk bayaran iaitu kepada isi rumah yang menghantar anak-anak ke sekolah yang mempunyai pandapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

 

“Setiap bentuk bayaran ini adalah bersyarat iaitu kehadiran ke sekolah mestilah sebanyak 90 peratus. Ini bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran daripada sekolah terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk memastikan mobaliti sosial dan pada masa sama meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.

 

Katanya, rombakan itu akan dibuat untuk sementara waktu sahaja sebelum ia dihapuskan sepenuhnya apabila jurang kemiskinan dapat dikurangkan.

 

“Apabila gaji sara hidup telah meningkat dan bertambah baik, kami akan hentikan program pembayaran bantuan kewangan ini dan akan lebih tertumpu kepada kebajikan masyarakat untuk rakyat termiskin,” katanya.

 

Selain itu, Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan juga menitik beratkan soal pengurangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan membuat cadangan mengurangkan kadar cukai tersebut sebanyak tiga peratus.

 

“Kami percaya pengurangan GST sebanyak tiga peratus boleh diseimbangkan menerusi penjimatan daripada membasmi pembaziran dan rasuah termasuklah pendapatan tambahan hasil daripada pelaksanaan Cukai Penambahan Kekayaan (CGT),” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.