Mercedes-Benz Baharu Jadi Pilihan

Rakyat Malaysia lebih berminat membeli kenderaan Mercedes-Benz baharu, berbanding memiliki yang terpakai, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan jualan baharu sebanyak 15 peratus sejak tiga tahun lepas.

 

 

Naib Presiden Kenderaan Perdagangan Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee berkata, ia merupakan aliran baharu di Malaysia, memandangkan dengan membeli seperti kenderaan perdagangan, pelanggan boleh menikmati jaminan selama dua tahun serta setahun manfaat perjalanan tanpa had.

 

 

Beliau memberi jaminan Mercedes-Benz Malaysia tidak akan meningkatkan harga kenderaan perdagangannya dalam jangka pendek, meskipun ringgit menyusut, memandangkan syarikat mempunyai pendekatan kewangan bagi mengawal pertambahan kos operasi.

 
Beliau berkata kepada pemberita selepas lawatan ke kilang pemasangan bagi menyaksikan pengeluaran keluar kenderaan perdagangan ke-25,000 dari jalur pemasangan, di sini hari ini.

 
Mengenai jualan kenderaan perdagangan, beliau yakin ia akan melebihi 200 unit tahun ini memandangkan setakat ini pembuat kenderaan berpangkalan di Jerman itu telah menjual 142 unit.

 
“Ia melebihi daripada sasaran jualan kami,” katanya.
 

Yee tidak menolak kemungkinan Mercedes-Benz Malaysia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang di Pekan, Pahang jika permintaan pasaran terus bertambah.
 

Sementara itu, Naib Presiden Pengeluaran Mercedes-Benz Malaysia, Ingbert Grombach, berkata syarikat itu melabur lebih daripada RM28 juta bagi kenderaan perdagangan sejak kilang pemasangan itu diwujudkan pada 2004.
 

“Lebih banyak kenderaan perdagangan akan dikeluarkan jika permintaan pasaran meningkat,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kilang itu.

 
“Mengenai dakwaan kualiti rendah kenderaan perdagangan yang dikeluarkan di Malaysia berbanding Jerman, ia adalah salah, memandangkan kami mengikut piawaian peraturan dan kawal selia bagi seluruh dunia,” katanya, dengan menambah, ia mengambil masa enam hari untuk menyiapkan sebuah trak di kilang pemasangan  Pekan.
 

Kilang itu, berkeluasan lebih 19,000 meter persegi, dikendalikan oleh 176 kakitangan dan mempunyai kapasiti semasa 4,000 unit setahun.
 

Ia mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan perdagangan syarikat itu, termasuk model jualan paling laris, Mercedes-Benz MP3 Actros 2640LS.
 

Ketika ini, kenderaan perdagangan Mercedes-Benz Malaysia menguasai 16.4 peratus pasaran dan ia membekal terutamanya kepada syarikat multinasional, organisasi, balai bomba, hospital dan perkhidmatan menyelamat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.