Lelaki Berlagak Perempuan Didenda, Diperintah Berkelakuan Baik

KUALA LUMPUR – Empat lelaki masing-masing didenda RM990 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti wanita di tempat awam atas tujuan tidak bermoral, minggu lalu.

 

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus turut memerintahkan bon berkelakuan baik selama enam bulan dengan seorang penjamin terhadap penganggur, Mohd. Afshan Amran, 24, tukang urut, Ace Mohammad Suriansah, 23, serta dua warga Indonesia yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan jurusolek sambilan, Bahtiar, 29, dan Riko Ardian, 35.

 

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di tiga lokasi berasingan iaitu di Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Putra dan Lorong Haji Taib antara pukul 12.10 tengah malam dan 3.45 pagi, 15 Oktober lalu.

 

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

 

Mengikut fakta kes, keempat-empat tertuduh ditahan dalam satu operasi cegah jenayah yang dijalankan oleh sekumpulan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), selepas menerima aduan daripada orang ramai.

 

Hasil daripada operasi tersebut, Mohd. Afshan, Ace, Bahtiar dan Riko ditahan di tiga lokasi berkenaan ketika sedang berlegar-legar mencari pelanggan dengan memakai pakaian wanita iaitu gaun dan skirt mini, lengkap dengan kasut tumit tinggi, rambut palsu dan perhiasan wanita.

 

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang kini telah berambut pendek memohon hukuman denda sahaja dan meminta mahkamah mengetepikan hukuman pemenjaraan kerana mereka telah insaf dan perlu bekerja untuk menanggung keluarga masing-masing di kampung. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.