Bina Parit Ladang Kelapa Sawit Di Indonesia Elak Kebakaran Merebak – Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pembinaan sistem perparitan untuk ladang kelapa sawit di Indonesia bagi mengelakkan pembakaran tidak terkawal dan seterusnya menyebabkan masalah jerebu.

 

Katanya, sistem tersebut pernah digunakan syarikat perladangan milik Tabung Haji, bagi mengelak kebakaran merebak disamping sebagai sumber air untuk ladang terbabit.

 

“Semasa saya menjadi menteri yang bertanggungjawab untuk Tabung Haji, TH Plantation menggunakan kaedah pembinaan parit di setiap dua baris pokok kelapa sawit.

 

“Ia bukan saja memberikan sumber air kepada pokok tetapi mampu mengelak kebakaran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2015 di sini, hari ini.

 

Tambah beliau, pembakaran ladang yang melibatkan 97 peratus daripada pemilik ladang di Indonesia ketika ini sukar untuk dipadamkan.

 

“Permasalahan sekarang, bukan saja tanah gambut tu terbakar tetapi ada deposit di bawah tanah gambut yang kemungkinan arang batu terbakar. Kebakaran ini bukan saja mudah merebak malah sukar untuk dipadam,” tambahnya.

 

Zahid turut menyatakan rasa simpati kepada Indonesia dan meminta tiada tekanan diberikan kepada mereka.

 

“Kita tak harus mengkritik mereka (pihak Indonesia) semata-mata tetapi kita harus bantu mereka dan cari jalan untuk penyelesaian jangka panjang.

 

“Ini kerana kerugian yang dialami bukan saja melibatkan Malaysia semata-mata, malah negara jiran seperti Singapura dan Thailand turut mendapat kesan buruk daripada jerebu rentas sempadan ini,” katanya. – awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.