Pelumba kelahiran Banting, Se­langor itu mengakui, dengan hampir kesemua anggota pasukan itu cuma mampu berbahasa Itali, tidak banyak yang mampu membantunya terutama dalam mendapatkan penetapan jentera yang terbaik.

“Sekalipun tidak boleh menjadikan (sukar berkomunikasi) sebagai alasan kemerosotan prestasi, saya akui masalah itu kerap menjejaskan aksi saya musim ini.

“Hendak atau tidak, saya perlu mengharunginya walaupun ada kalanya saya dapati seolah-olah tiada keserasian antara saya dengan pasukan,” katanya pada Sesi Beramah Mesra AirAsia dengan peminat di Marina Putrajaya, semalam.

Bagi musim 2014 setakat ini, pelumba berusia 22 tahun ini sekadar menduduki tempat ke-20 dengan memungut 16 mata berbanding 68 mata dan tempat ke-12 dalam musim terdahulu dengan pasukan Red Bull KTM Ajo.

Pencapaian terbaiknya dalam Moto3 ialah musim 2012 bersama pasukan AirAsia-SIC-Ajo dengan meraih dua podium dan satu petak depan selain mengumpul 128 mata di tempat ketujuh.

Mengenai sama ada mahu kembali ke pangkuan Sepang International Circuit (SIC) dan kedudukan kontrak Ongetta-AirAsia yang bakal berakhir hujung tahun ini, kata Zulfahmi, “kita tunggu dan lihat sahajalah.

“Saya yakin semua berada di laluan yang baik. Saya masih bersema­ngat untuk berlumba walaupun menyedari saingan Moto3 sangat sengit.

“Mungkin musim depan menjadi penentu karier saya untuk saya buktikan kemampuan dan capai keputusan yang lebih baik.

“Namun buat masa ini saya cuba tenangkan fikiran dan tidak mahu terlalu memikirkan soal itu dan hanya tumpukan kepada prestasi,” katanya.

Mengenai Grand Prix Malaysia hujung minggu ini, katanya, berlumba di Litar Sepang yang umpama tempat sendiri sentiasa membawa kepentingan besar kepadanya.

“Saya cuba beri yang terbaik ke­rana setiap kali letak sasaran, keba­nyakannya tidak tercapai,” katanya.

-Utusan