Shahidan Selar Tindakan Pembangkang Pergi Luar Negara, Hentam Dan Maki Kerajaan

Kuala Lumpur – Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini membidas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang dilaporkan memberi maklum balas kepada ahli Parlimen Australia mengenai perkembangan politik Malaysia baru-baru ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan parti pembangkang itu satu usaha memburukkan negara hingga memberi persepsi yang salah mengenai kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional pada mata dunia.

“Saya tak setuju setengah pihak pergi keluar negara, hentam negara kita, maki… bukan sahaja kepada pemimpin parti, tetapi juga pemimpin negara.

“(Mereka) Pergi ke negara asing untuk tegur negara ini, kemudian balik ke Malaysia, akhirnya kena jumpa orang yang dimaki hamun.

“Mereka kutuk polis tapi lepas itu, jumpa polis minta bantuan, sebagai contoh,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau juga turut menyifatkan tindakan ahli pembangkang itu, yang mengkritik negara, dalam hal ini berkaitan kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Akta Hasutan, bukan satu cara penyelesaian.

“Tidak boleh cakap hal negara kita pada orang asing, sebab mereka tidak boleh selesaikan (masalah) negara kita. Kita sendiri yang kena selesaikan masalah kita,” katanya.

Beliau mengulas mengenai lawatan kerja pimpinan PKR ke Australia yang sedang berlangsung sekarang, membincangkan perbicaraan kes Liwat II Anwar yang dijadualkan minggu depan dan dakwaan menghasut yang dikenakan Putrajaya terhadap pelbagai pihak.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang berada di sana berkata, selain lawatan kerja ke Parlimen Australia, delegasi juga menyertai siri forum terbuka di bandar utama seluruh Australia anjuran mahasiswa Malaysia di Australia.

“Saya yakin rangka lawatan kerja ini akan memberi gambaran sebenar mengenai tindakan Barisan Nasional yang menggunakan undang-undang untuk menekan lawan politik.

“Ia juga kena pada masanya apabila lebih ramai mahasiswa Malaysia di luar negara semakin berani tampil ke hadapan membawa diskusi berhubung perkembangan politik tanah air daripada kaca mata yang lebih progresif,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga turut menyelar pihak luar yang dikatakan mengkritik hebat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak apabila cuba mempertahankan Akta Hasutan.

“Kenapa (negara luar) tak nak tegur perkara lebih berat seperti jenayah pembunuhan? Mereka tegur akta yang melindungi rakyat awam, sedangkan negara mereka pun macam-macam berlaku,” katanya.

Beliau juga meminta agar negara luar tidak mencampuri urusan dan menghormati pendirian kerajaan Malaysia mengenai perkara terbabit.

“Setiap negara jagalah hal masing-masing, kita jaga negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menteri itu juga turut diminta mengulas isu yang bakal menjadi topik perbincangan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno pada November ini.

Ahli Parlimen Arau itu menolak kemungkinan isu pemansuhan Akta Hasutan akan menjadi topik hangat, sebaliknya katanya, akar umbi akan memberi penumpuan kepada soal keselamatan negara.

“Memang (Akta Hasutan) akan dibincangkan, namun tidak akan dijadikan penumpuan sangat. Kerana, perdana menteri sudah menyatakan yang berubah itu hanya pada nama, dan tidak pada isi kandungannya, terutamanya melibatkan soal Raja-Raja Melayu, kaum Melayu, agama Islam dan sebagainya,” katanya.

Beliau menjangkakan isu keselamatan akan dibincangkan secara menyeluruh, pertama yang melibatkan jenayah berantai dan kedua mengenai perpaduan.

“Keselamatan ini juga termasuk (mempertahankan negara) daripada unsur-unsur asing seperti negara dan orang luar.

“Contohnya seperti peperangan saudara di peringkat dunia, ia boleh mengancam mana-mana negara yang rapuh perpaduannya. Kita mahu negara kita tidak tergugat dengan unsur-unsur begini,” katanya.

2 thoughts on “Shahidan Selar Tindakan Pembangkang Pergi Luar Negara, Hentam Dan Maki Kerajaan

  • October 22, 2014 at 10:55 pm
    Permalink

    pergi memancing ke Pulau Tioman
    mendayung sampan hingga ke muara
    eratkan perpaduan peliharai
    keamanan
    pemimpin berintegriti negara
    sejahtera.

    cantik warnanya si rama-rama
    terbang hinggap di pohon jati
    berlaku adil dan saksama
    elakan korupsi pemimpin dihormati.

    Reply
  • November 5, 2014 at 6:31 pm
    Permalink

    Tujuan mereka berkempen supaya kedudukan indeks integriti negara merosot. Bila indeks sudah jatuh, mereka akan nampak lebih hebat.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.