Remaja Australia Sertai ISIS DIkecam Ahli Keluarga

Syria – Remaja Australia yang menganggotai kegiatan militan Negara Islam Iraq Syria (ISIS) dikecam ahli keluarganya kerana terlibat dalam video propaganda yang mendakwa kumpulan pengganas itu tidak akan menghentikan perbuatan membunuh sehingga bendera kumpulan itu berkibar di setiap negara.

Rakaman yang disiarkan menerusi YouTube menyaksikan remaja lelaki berusia 17 tahun yang berasal dari Sydney itu, Abdullah Elmir memperkenalkan dirinya sebagai ‘Abu Khaled dari Australia’ dan kelihatan diapit beberapa anggota militan lain.

Menerusi video itu, Elmir yang memeluk Islam itu menyampaikan mesej khusus kepada pemimpin Barat dengan mendakwa cubaan untuk mematahkan kegiatan ISIS akan gagal kerana kumpulan itu menyasarkan untuk mengibarkan bendera mereka di Istana Buckingham dan Rumah Putih.

Elmir ‘hilang’ dari rumahnya di Bankstown, barat Sydney pada Jun dan dilaporkan memberitahu ibunya dia pergi memancing. Bagaimanapun, sejak saat itu dia tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, video berkenaan menyebabkan saudara maranya melabelkannya sebagai seorang yang bodoh dan menganggap dia ‘termakan’ hasutan kumpulan pengganas itu.

Elmir dan rakannya, Feiz yang memulakan perjalanan dari Perth sebelum singgah di Malaysia dan Thailand dipercayai ke Syria dan Iraq menerusi Turki yang juga lokasi terakhir mereka menghubungi ahli keluarga masing-masing.

Rakaman video itu bermula dengan remaja itu berkata:”Mesej ini khusus untuk rakyat Amerika, juga rakyat Britain dan Australia.”

Seterusnya Emlir menyoal:”Tentunya anda tidak jelas bagaimana kejayaan boleh menjadi kenyataan.”

“Ia datang dari Allah dan sebab itu dengan hanya sebilangan kecil tentera tetapi kami boleh mencapai kejayaan.

“Kepada pemimpin berkenaan, kepada Obama, Tony Abbott, saya mahu katakan: “Senjata yang kami ada, tentera ini tidak akan berhenti berjuang, kami tidak akan menyerah kalah sehingga sampai ke negara kamu, sehingga kami memperoleh kepala setiap penzalim dan mengibarkan bendera di setiap negara.”

Ahli keluarganya, peguam Zali Burrows memberitahu Australian Associated Press: ‘Ahli keluarganya menemui media untuk merayu kepada kerajaan supaya membawa pulang anak mereka. Mereka bimbang dia digunakan sebagai alat untuk menjalankan risikan dan melihat sejauh mana dia mampu lakukan.”

Burrows juga mempersoalkan kenapa Elmir tidak ditahan pasukan polis negara itu yang mengawasi pergerakannya.

Pada Ahad, Menteri Luar, Julie Bishop mengumumkan Australia akan menghantar pasukan khas ke Iraq untuk memerangi kumpulan Negara Islam (IS).

Pengumuman itu dibuat sehari selepas video melibatkan Elmir disiarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.