PM, TPM Hadiri Rumah Terbuka Deepavali MIC

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini menghadiri Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Kedua-dua pemimpin negara itu tiba kira-kira jam 10 pagi dan disambut Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta kepemimpinan tertinggi MIC.

Najib yang memakai kurta berwarna putih dan Muhyiddin, berbaju batik merah, meluangkan masa hampir sejam di majlis berkenaan.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu.

Selesai kunjungan itu, Najib dan Muhyiddin kemudiannya menghadiri satu lagi rumah terbuka Deepavali di High Convention Centre, Jalan Sentul, di sini anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).

Kehadiran kedua-duanya disambut Presiden MAICCI, Tan Sri K K Eswaran.

Turut hadir di majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.