PM Minta Rakyat Tak Terpengaruh Dengan Ektremis

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia tidak seharusnya membiarkan diri mereka terganggu dengan pandangan ekstremis sehingga menyebabkan perpaduan yang sekian lama dibina dan berjaya membawa negara ke tahap sekarang retak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya tegas Perdana Menteri, semua pihak perlu menunjukkan komitmen untuk memperkasakan perpaduan yang merupakan asas kekuatan utama Malaysia sejak sekian lama, sekali gus mengetepikan segelintir pihak yang cuba mensensasikan pandangan ekstremis.

“Formula kejayaan Malaysia bukan sahaja diakui negara-negara jiran tetapi juga oleh dunia. Kejayaan kita menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) adalah bukti penghormatan dunia kepada Malaysia.

“Dalam perjalanan mencapai kejayaan bersama, jangan biarkan diri kita terganggu dengan pandangan ekstremis. Kita perlu mengatasi pandangan tersebut dengan komitmen perpaduan,” katanya sempena perutusan Deepavali di blognya, www.najibrazak.com, hari ini.

Menurut Najib, kejayaan itu adalah hasil kesedaran rakyat Malaysia bahawa apa yang akan menjamin kekuatan negara ini ialah perpaduan hasil pendekatan kesederhanaan kerajaan dalam menghadapi pelbagai cabaran baik domestik, serantau mahu pun antarabangsa.

Kata Perdana Menteri lagi, festival cahaya tersebut antara lain menyuruh seluruh rakyat Malaysia untuk melihat ke hadapan dalam memastikan impian bersama untuk muncul sebagai sebuah negara maju tercapai.

Serentak dengan itu, beliau turut menyeru kepada masyarakat India agar terus menyokong Kerajaan Persekutuan dengan mengambil semangat ‘nambikei’ kerana masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan ‘cahaya’ menerangi seluruh rakyat Malaysia.

“Selamat ‘Deepavali Vaalthukal’ kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia. Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan antara satu sama lain dengan membawa sifat kepelbagaian di antara kita ke arah kebahagiaan dan juga keharmonian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.