Penerima Hadiah Keamanan Nobel Termuda Dianugerahkan Pingat ‘Liberty’

Philadelphia – Malala Yousafzai, aktivis hak asasi kanak-kanak dan penerima termuda Hadiah keamanan Nobel, dianugerahkan Pingat ‘Liberty’ semalam dan berikrar akan mendermakan hadiah wang tunai AS$100,000 yang diterimanya kepada pendidikan di kampung halamannya di Pakistan.

Malala memenangi hadiah tahunan itu daripada ‘National Constitution Center’ (NCC) kerana keberanian dan ketabahannya menghadapi dugaan dan bersuara lantang bagi pihak mereka yang dinafikan hak asasi manusia dan kebebasan.

Dalam ucapannya remaja 17 tahun itu menyatakan hasratnya untuk melihat 57 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah diberikan hak terhadap pendidikan, yang kira-kira dua minggu lalu juga menerima hadiah Nobel bersama Kailash Satyarthi dari India.

“Saya amat berbesar hati untuk menerima hadiah ini,” katanya dalam ucapannya yang diselang seli dengan senda gurauan.

“Ia menggalakkan saya untuk meneruskan kempen untuk pendidikan dan perjuangan hak asasi setiap kanak-kanak,” tambahnya, sambil mengumumkan hasratnya untuk menyalurkan wang tunai yang diterimanya bagi tujuan pendidikan di Pakistan.

Beliau menyeru negara di seluruh dunia supaya menghentikan perbelanjaan wang untuk senjata dan sebaliknya melabur dalam masa depan anak mereka.

“Pendidikan adalah senjata terbaik yang mana menerusinya kita dapat melawan kemiskinan, kejahilan dan keganasan. Oleh itu saya menggesa semua negara di dunia, marilah kita katakan tidak kepada peperangan,” tegasnya.

Pelajar berkenaan, yang kini tinggal di Britain, mula dikenali di Pakistan ketika berkempen untuk hak kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan.

Pada Oktober 2012, beliau ditembak di kepala oleh seorang lelaki bersenjata Taliban dan dipandang serong serta dibenci oleh ramai orang di Pakistan.

Malala kemudian dipindahkan ke Britain dan pulih daripada kecederaannya dan kini menghadiri sekolah di negara berkenaan serta terbang ke seluruh pelusuk dunia bagi menjuarai isu pendidikan menerusi Tabung Kebajikan Malala.

“Keberanian Malala bagi mendapatkan kebebasan dan keadilan daripada kekejaman adalah bukti bahawa seorang pemimpin yang komited, tidak kira usia, mempunyai kuasa untuk menyemarakkan gerakan pembaharuan,” kata Pengerusi NCC, Jeb Bush.

Tambahnya: “Marilah kita, tua atau muda, berusaha untuk menjadi seperti Malala – untuk mencabar keadaan sedia ada dan bertindak sebagai pemangkin bagi melakukan perubahan bermakna.”

Pingat ‘Liberty’ itu dianugerahkan kepada tokoh yang berjuang untuk kebebasan manusia di seluruh dunia.

Penerima sebelum ini termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat – George H W Bush dan Bill Clinton serta Nelson Mandela, Shimon Peres, Kofi Annan dan Bono.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.