Setiausaha Agungnya, Datuk Sieh Kok Chi berkata, dalam isu tersebut, MOM mempunyai kuasa menyekat atlet terbabit daripada menyertai mana-mana temasya sukan besar termasuk Sukan Olimpik.

“Saya tidak dapat menyebut nama atlet terbabit memandangkan perkara tersebut belum dimaklumkan secara rasmi kepada MOM malah kami belum menerima laporan mengenai kes tersebut.

“Kita harap persatuan sukan kebangsaan bijak menyelesaikan masalah terbabit dan mereka perlu menunggu keputusan ujian sample B terlebih dahulu.

“Atlet tersebut ditangkap semasa menyertai kejohanan berasingan daripada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia jadi persatuan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes ini.

“Saya rasa hasil ujian sample B yang dijalankan di sebuah makmal di Norway akan diketahui dalam masa kurang dua minggu lagi,” katanya semalam.

Kelmarin, media tempatan melaporkan seorang atlet negara didakwa positif dadah bagi sample A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lepas.

Kok Chi berkata, MOM tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam siasatan sample B tersebut memandangkan kejohanan tunggal itu dianjurkan oleh badan induk sukan berkenaan.

“Buat masa ini MOM tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejohanan yang disertai itu adalah berasingan daripada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia jadi ia berada di luar bidang kami,” katanya.

-Utusan