Kementerian Kaji Luaskan Penggunaan Mesin Pemeriksaan Payudara

Balik Pulau – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji untuk meluaskan penggunaan mesin khas bagi pemeriksaan payudara iaitu Bio Elektrik Impedans Tomografi (3D EIT) di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata mesin khas yang dicipta hasil gabungan teknologi negara Jerman dan Russia itu masih dalam proses penelitian untuk mengkaji ketepatan mengesan penyakit kanser dan cyst pada payudara.

Katanya, setakat ini mesin itu digunakan untuk membuat saringan mengesan tanda awal pada payudara menerusi program kesihatan yang dianjurkan di kawasan Balik Pulau, di sini.

“Mesin 3D EIT itu menggunakan teknik baharu yang tidak membabitkan x-ray dan ia juga selamat digunakan untuk wanita mengandung kerana ia menggunakan tenaga elektrik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Wanita Sihat Tanpa Kanser di Sekolah Agama Rakyat Teluk Bahang, di sini hari ini.

Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, mesin itu juga sangat praktikal dan mampu membantu golongan wanita terutama di kawasan kampung membuat saringan kanser payudara.

“Sehingga ini, sebanyak 22 kes berkaitan kanser berjaya dikesan dan pesakit dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.