Disebalik Skandal Dadah, Chong Wei Muat Naik Gambar Sambut Hari Jadi

Kuala Lumpur – Walaupun terlibat dalam skandal “doping”, Datuk Lee Chong Wei semalam menyiarkan gambarnya di Twitter, menyambut ulang tahun ke-32 beliau bersama isteri dan anak lelakinya.

Lee dikenal pasti oleh TV3 dan The Star sebagai atlet Malaysia yang didapati positif bahan larangan semasa ujian dadah secara rawak.

Putrajaya setakat ini enggan mengesahkan identiti atlet tersebut, mengatakan ia masih menunggu hasil ujian atas sampel B.

Lee terbabit selepas beliau dikatakan gagal ujian rawak pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen pada akhir bulan Ogos.

Beliau antara yang dipilih secara rawak untuk ujian doping itu dan dimaklumkan mengenai kegagalan itu pada 1 Oktober.

Beliau meminta ujian dilakukan atas sampel B,16 hari kemudian iaitu sehari sebelum tarikh akhir untuk memohon ujian itu.

Malam tadi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, menyalahi peraturan World Anti-Doping Agency untuk mengenal pasti atlet yang masih belum diuji sampel keduanya.

Katanya, ia tidak berlaku adil kepada atlet berkenaan jika sampel B didapati negatif.

“Jika sampel B itu ternyata negatif, tidak adil untuk atlet itu kerana namanya sudah tercemar,” kata Khairy kepada pemberita.

Agensi berita antarabangsa seperti Xinhua melaporkan tentang ujian dadah positif Lee, memetik sumber media Malaysia.

Pengguna Twitter setakat ini berada dalam keadaan tidak percaya yang Lee terlibat dengan penggunaan dadah terlarang.

Seorang pengguna dengan nama @mamifoo menyalahkan Persatuan Badminton Malaysia, mengatakan ia meletakkan tekanan atas Lee untuk terus bermain.

“Kegagalan BAM melahirkan pemain pelapis memaksa Lee Chong Wei bermain dlm semua pertandingan sehingga terpaksa mengambil dadah?” katanya.

Channel News Asia juga memetik The Star apabila melaporkan Lee berkemungkinan gagal ujian dadah itu semasa kejohanan di Copenhagen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.