Apple Naik Taraf Sistem Operasi

San Francisco –  Apple Inc (Apple) mengumumkan naik taraf terbaharu sistem operasi (OS) telefon pintarnya, iOS 8.1 boleh dimuat turun mulai hari ini bagi menggantikan versi sedia ada, 8.0.2.

Mengikut portal rasmi syarikat itu Apple Insider, iOS 8.1 didatangkan dengan aplikasi e-wallet, Apple Pay untuk pengguna iPhone 6 dan iPhone 6 Plus.

Ciri terbaharu lain dalam sistem operasi itu termasuk beta iCloud Photo Library, SMS relay dan Instant Hotspot yang boleh dipadankan dengan Mac atau iPad serta Camera Roll yang didatangkan kembali dalam aplikasi Photo.

“iOS 8.1 kini sudah boleh dimuat turun melalui seksyen Software Update di aplikasi Setting pada iPhone, iPad atau iPod. Bagaimanapun, ciri Apple Pay ketika ini hanya khusus untuk pengguna di Amerika Syarikat.

Perubahan kepada aplikasi Photo merangkumi ciri baharu iCloud Photo Library dan sistem amaran baki memori sebelum mengambil gambar. iOS 8.1 juga menampilkan kembali album My Photo Stream apabila iCloud Photo Library tidak diaktifkan.

Mengikut Apple Insider, ciri baharu pada aplikasi Massages pula membolehkan pengguna iPhone menghantar dan menerima teks SMS dan MMS daripada iPad dan Mac.

Naik taraf itu juga menyelesaikan masalah apabila enjin carian kadang-kadang tidak memaparkan bahan carian dan menyelesaikan isu pepijat yang menyebabkan mesej sudah dibaca tidak ditanda sudah dibuka. iOS 8.1 juga menyelesaikan beberapa isu berkaitan mesej berkumpulan. – Apple Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.