Anwar Nafi Terdesak, Sebaliknya Tunding Jari Kepada UMNO

Klang – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertahankan tindakan pengikutnya meminta bantuan kerajaan Australia dalam usaha membebaskan dirinya daripada hukuman penjara.

Menafikan beliau terdesak sehingga terpaksa mendapatkan sokongan negara asing, Anwar berkata tindakan pengikutnya itu dianggap perkara biasa berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah meminta bantuan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam beberapa perkara.

“Isunya sekarang, kita mahu pertahankan kebebasan demokrasi dan mana-mana pihak yang mendukung kepimpinan (demokrasi) ia akan mempertahankannya di mana-mana.

“Jika benar mahu pertahankan, kebebasan itu juga perlu dipertahankan,” katanya ditemui pada Majlis Solidariti di Jalan Tengku Kelana, Little India, di sini, petang tadi.

Hari ini, sebuah portal berita, melaporkan tiga wakil rakyat PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Australia, Julie Bishop, bagi membawa kes pertuduhan liwat terhadap Anwar untuk perhatian antarabangsa.

Selain pertuduhan kes liwat, Rafizi bersama-sama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung turut dilaporkan membawa isu berkaitan dengan Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, Anwar menafikan beliau mengarahkan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali menandatangani surat peletakan jawatan tanpa tarikh bagi mengikat Menteri Besar Selangor itu supaya menuruti kehendak parti dalam mentadbir negeri seperti mana yang didedahkan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

Beliau sebaliknya menuduh perkara itu adalah mainan UMNO.

“Jika hantar pada saya, mesti saya dapat. Saya sudah periksa tetapi email itu tidak ada.

“Ini mainan UMNO. Selama ini, ini semua kerja UMNO,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.