2,100 cikgu belum divaksin, tak dibenar PdP bersemuka – Radzi Jidin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti pendekatan terbaik berhubung penetapan tugas membabitkan guru-guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 di seluruh negara,” kata Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut beliau, ia susulan ketetapan KPM terhadap kumpulan tersebut yang tidak dibenarkan mengajar dan berinteraksi dengan pelajar secara bersemuka sebaik sahaja pembukaan sekolah dilaksanakan.

Radzi berkata, ketika ini terdapat kira-kira 2,100 guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Namun katanya, tidak bermakna semua mereka terkecuali daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru.

“Ada tugas-tugasan yang akan diberikan kepada guru-guru ini berdasarkan keadaan semasa di sekolah. Ini kerana, seramai 2100 orang ini mempunyai latar belakang keadaan semasa sekolah yang berbeza.

“Contohnya,ada sekolah yang (guru tidak divaksin) dalam tiga subjek sama. Jadi kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan yang terbaik,”katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian, menjawab celahan Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) yang bangkit mempersoalkan sama ada larangan mengajar secara bersemuka membabitkan kumpulan guru yang tidak divaksin akan menambah beban kepada guru-guru yang telah divaksin.

Pada masa sama, menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memohon jaminan agar tiada tindakan terhadap guru-guru yang enggan divaksin, Radzi berkata, ia adalah bergantung kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

“Guru adalah sebahagian penjawat awam jadi kita akan mengikut apa sahaja pedoman yang akan diberikan JPA dalam perkara ini.

“Tentang tindakan selajutnya, ianya bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh JPA,”katanya.

Ujar Radzi, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan dapat terus ditingkatkan. Ini bagi mewujudkan satu ekosistem dimana mereka yang berada bersama-sama murid di sekolah telah divaksin sepenuhnya.

” Sehingga 20 September 2021, 90.5 peratus guru, 85.8 peratus AKP, dan 79.2 peratus pekerja perkhidmatan sokongan telah lengkap divaksin.

“Pada masa ini, 7.2 peratus guru, 11.4 peratus AKP dan 15.1 peratus pekerja perkhidmatan sokongan sedang menunggu suntikan dos kedua.

“Mana-mana guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka,” tegas Radzi.

Dalam perkembangan lain, bagi pencegahan gangguan seksual di sekolah Radzi memberitahu, KPM sentiasa komited untuk memastikan persekitaran sekolah adalah selamat.

Katanya, bagi pencegahan gangguan seksual di sekolah, KPM melalui perkhidmatan bimbingan dan kaunseling melaksanakan intervensi dengan
menggunakan Modul Intervensi Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Sekolah (IHSAN).

“Modul ini antara lain, memberi pemahaman serta meningkatkan kesedaran murid berkaitan jenayah seksual.

“Program kesedaran berterusan turut dilaksanakan oleh KPM dengan kerjasama agensi kerajaan atau bukan kerajaan dalam menyebarluaskan
maklumat psikopendidikan, kesihatan reproduktif dan ancaman gangguan seksual,” ujarnya.

Radzi menambah, sekiranya berlaku sebarang kejadian gangguan seksual melibatkan murid, Guru Bimbingan dan Kaunseling akan memainkan peranan untuk memberi sokongan kepada murid melalui sesi kaunseling bagi memastikan kesejahteraan, kesihatan, keselamatan serta kebajikan murid terjaga.

” Sekiranya pelaku adalah penjawat awam dan didapati bersalah, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993).

“Pelaku tersebut juga boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Kanak Kanak 2001 ataupun di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” tegas Radzi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat