Wak Doyok Pilih Sertai AMANAH

TEMERLOH – Ikon fesyen, Wak Doyok menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini, sempena sambutan ulang tahun ketiga parti itu, di sini.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor berkata, penyertaannya ke dalam AMANAH kerana tertarik dengan keterbukaan parti pimpinan Mohamad Sabu itu dalam memperjuangkan konsep Islam untuk semua.

Wak Doyok sebelum ini adalah ahli PAS sejak tahun 1997.

“Saya juga berminat menyertai AMANAH selepas melihat ia menarik ramai golongan profesional sama ada Melayu dan bukan Melayu.

“Justeru, saya mahu bersama-sama melakukan pembaharuan terutama dalam perjuangan Islam yang memberi rahmat kepada semua,” katanya dipetik Harian Metro. 

Penyertaannya ke dalam parti itu diumumkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Wak Doyok yang juga pelakon berkata, beliau akan memperjuangkan pemerkasaan ekonomi belia untuk ke satu tahap membanggakan dan memberi manfaat kepada orang muda pada masa hadapan.

“Saya adalah ikon Majlis Tindakan Ekonomi Belia Malaysia dan saya percaya dapat membantu dalam memperkasakan ekonomi orang muda menerusi AMANAH,” katanya yang terkenal dengan imej jambang dan misai.

“Saya juga akan membantu parti menerapkan konsep perjuangan Islam untuk semua dengan mendidik masyarakat dalam aspek gaya hidup,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.