Tumpu Gerak Kerja Mantapkan Parti

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan UMNO yang cekal dan setia dengan perjuangan parti digesa memberi tumpuan dalam melahirkan pemimpin pelapis dengan melaksanakan kaedah perkaderan di peringkat akar umbi.

EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata pendekatan seperti itu dapat mengubah kuasa kepemimpinan untuk diperkasakan dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, sepatutnya sudah bermula langkah membentuk dan mengasah bakat dalam parti bagi menonjolkan beberapa calon berpotensi sebagai persiapan pilihan raya akan datang.

“Perlu ada calon yang ada wibawa untuk PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) di setiap bahagian sebagai bukti UMNO berani berubah dan perbaiki parti.

“Kita kena berani jadi pembangkang yang ada wibawa, bukan cuma tahu bermimpi untuk menjadi kerajaan dalam masa yang singkat dengan menggadai prinsip.

“Yang keluar, biarkan keluar. Kita hormati kehendak mereka. Tapi yang masih kekal, tolong buat perubahan segera. Bekas ketua bahagian dan ketua bahagian kini yang sudah senang dan kaya, bantu semula parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda Bahagian Lembah Pantai berkata, sekiranya benar ada parti lain yang sanggup dan sudi bergabung, perkara itu harus diteliti.

Beliau berharap pucuk kepemimpinan berani membuat perubahan drastik demi kelangsungan parti.

“Kita teliti dan pastikan sama-sama. Hormat-menghormati antara satu sama lain juga menjadi asas kekuatan parti, bukan perli dan ego,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.